KUALA LUMPUR, 4 Jan — Malaysia mungkin mempunyai timbalan perdana menteri semula di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ismail Sabri bertemu presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk membincangkan perkara ini dan mungkin membuat pengumuman pada minggu depan.
“Tiada apa-apa yang diputuskan lagi, mungkin minggu depan selepas mesyuarat Kabinet pada hari Rabu. Ismail Sabri sepatutnya berjumpa Muhyiddin hari ini [semalam] untuk membincangkan perkara ini khususnya menteri dan timbalan menteri dalam Bersatu,” kata sumber itu kepada akhbar pro Umno itu.
Menurut Utusan, terdapat tiga calon yang kesemuanya daripada Bersatu: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali.
“Bagaimanapun, Muhyiddin lebih condong kepada Azmin. Semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, beliau memberi kepercayaan kepada Azmin untuk mengambil alih jawatan perdana menteri apabila beliau tiada,” kata sumber itu dipetik.
Sumber itu berkata peluang Ahmad Faizal untuk menjadi timbalan perdana menteri untuk Bersatu masih dalam peringkat rundingan awal.
“Kedudukan Faizal Azumu masih dirundingkan kerana beliau adalah timbalan presiden Bersatu, bermakna beliau adalah orang kedua paling berkuasa dalam Bersatu selepas Muhyiddin,” kata sumber itu kepada Utusan.
Sekiranya Ahmad Faizal dilantik sebagai TPM, maka jawatannya sekarang sebagai menteri belia dan sukan akan diserahkan kepada ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.
“Ini adalah untuk menyamakan jumlah menteri Umno dan Bersatu dalam Kabinet Ismail Sabri,” kata sumber itu kepada Utusan.
Sehingga Julai tahun lepas Muhyiddin melantik Ismail Sabri sebagai timbalannya. Selepas itu, beliau berundur dari jawatan, memberi laluan kepada naib presiden Umno itu.
Ismail Sabri mengekalkan beberapa menteri yang sama seperti Muhyiddin apabila beliau menjadi PM dan melantik empat menteri kanan dalam Kabinetnya.