KUALA LUMPUR (3 Jan): AirAsia Group Bhd mencadangkan untuk menukar namanya kepada Capital A Bhd, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung yang akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin (3 Jan), syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata cadangan nama “Capital A Bhd” telah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan dikhaskan oleh syarikat itu pada 28 Dis 2021.
“Satu pekeliling kepada pemegang saham dengan butiran cadangan pertukaran nama akan dikeluarkan kepada pemegang saham dalam masa terdekat. Cadangan pertukaran nama, jika diluluskan oleh pemegang saham, akan berkuat kuasa dari tarikh pengeluaran Notis Pendaftaran Nama Baharu oleh SSM kepada syarikat itu,” katanya.
Memandangkan pandemik Covid-19 terus memberi kesan kepada industri penerbangan, syarikat penerbangan itu melaporkan kerugian bersih sebanyak RM887 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2021 (3Q2021), meningkat 4.1% daripada RM851.78 juta yang ditanggungnya pada 3Q2020, akibat daripada pasaran Malaysia dan Indonesia terus menghadapi sekatan perjalanan; manakala hasil suku tahunan turun 36.9% kepada RM295.89 juta daripada RM468.94 juta.
Kerugian bersih itu juga disebabkan oleh pelaburan dalam teknologi, bakat dan rangkaian kerana AirAsia terus meningkatkan aplikasi super digitalnya dan bahagian kargo udaranya Teleport, kata syarikat itu dalam pemfailan bursa November lalu.
Baru-baru ini, syarikat penerbangan itu berkata ia telah berjaya memperoleh lebih RM2.5 bilion melalui pengumpulan dana yang akan menyediakan kecairan yang kukuh untuk kumpulan itu untuk meningkatkan operasinya pada 2022, selepas menyelesaikan terbitan hak boleh ditolaknya pada Disember 2021 yang memperoleh RM974.5 juta.
Saham AirAsia berakhir 1.5 sen atau 1.90% lebih tinggi pada 80 sen pada Isnin (3 Jan), memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM3.14 bilion.