Putrajaya 2 Jan : Parti politik tanahair yang baru berusia 6 tahun, yang telah melahirkan 2 Perdana Menteri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan terus kekal relevan. Walaupun berlaku pelbagai cabaran selepas kemenangan mereka bersama Pakatan Harapan lalu, para pemimpin dan akar umbi Bersatu masih menaruh harapan yang tinggi kepada parti ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan terus memainkan peranan untuk mempertahankan Perikatan Nasional pada PRU15 akan datang. Cabaran yang menanti beliau adalah pada keputusan muktamad PAS kelak apabila tibanya masa untuk membuat gabungan pilihanraya. Komponen lain yang ada seperti Gerakan, diramalkan tidak akan berjaya memenangi hati orang Cina. PN mesti bersaing dengan BN UMNO untuk mendapat sokongan orang Melayu. Dengan kepimpinan yang ada pada UMNO sekarang, penganalisis politik yakin, ia sukar untuk Zahid Hamidi bekerjasama dengan Muhyiddin.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu atau pun mesra dikenali sebagai Peja, terus menjadi bahan tular media massa. Isu-isu seperti Mee kari, menteri 11 hari, gossip perkahwinan dan pelancaran program bantuan banjir semasa perhimpunan agung akan menghantuinya dalam jangka masa yang panjang.
(Peja)
Ucapan sambutan tahun baru oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menggesa parti itu supaya lebih tersusun dan taktikal adalah satu gesaan yang penting bagi kesinambungan parti itu. Â “kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”. Kata-kata ini mungkin menggambarkan kekalahan demi kekalahan parti itu pada pilihanraya kecil, terutamanya baru-baru ini di Melaka, walaupun pihak lawan terpalit dengan banyak kontroversi dan isu, tetapi Bersatu masih tidak mampu memperoleh kemenangan ke atas mereka.
Bagi sayap pemuda (ARMADA), mereka mahu Bersatu mempunyai banyak program yang membuka mata rakyat, tanpa perlu terlalu ‘gelojoh’ untuk tambah ahli. “Paling penting Bersatu perlu tambah keyakinan rakyat untuk mengundi..contoh mudah adalah UMNO, ahli ramai pun boleh kalah pada PRU14”, ujar Faizu Yahya yang merupakan Bendahari Biro Pemerkasaan Bumiputera Armada Nasional yang juga Exco Armada Terengganu. “Naikkan orang yang berkebolehan di dalam politik dan bekerja dalam jabatan untuk AMPT (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi) dan menteri kita sendiri. Jangan tahu buat kerja jabatan kerajaan sahaja tetapi kucar-kacir dalam menjaga politik sendiri”, tambah beliau.
Bagi Timbalan Ketua Bersatu Gelang Patah, Fakhrul Anwar Ramli, beliau mahu Bersatu lebih proaktif dalam menyantuni rakyat dan pada masa yang sama kepimpinan Bersatu yang mendapat jawatan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri perlu kerap turun padang bertemu akar umbi bagi menyampaikan maklumat terkini serta membantu mengukuhkan perpaduan ahli-ahli Bersatu menjelang PRN dan PRU15 nanti.
(Fakhrul Anwar Ramli)
Bersatu perlu menguatkan akar umbi dengan langkah pertama iaitu memudahkan pendaftaran keahlian, kata Shahrul Amin Daud yang merupakan AJK serta Ketua Cawangan dari Bersatu Shah Alam. Pada minggu lepas, Setiausaha Agung Parti, Datuk Seri hamzah Zainudin berkata sewaktu perhimpunan agung baru-baru ini, parti itu telah mempunya lebih dari lima ratus ribu ahli. Selari dengan itu, Shahrul menggesa jentera pilihanraya dan skuad sukarela seperti Skuad Sukarelawan PAS wajib diteruskan oleh Bersatu. “Semasa awal Bersatu zaman Tun Mahathir, setiausaha politiknya menubuhkan skuad sukarelawan dan ianya nampak berkesan dengan kehadiran jentera kita dilapangan, ia perlu dihidupkan kembali”, ujarnya.
Bagi Ketua Bersatu Bahagian Gua Musang, beliau berharap Bersatu kembali mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan Tan Sri Muhyiddin kembali menjadi Perdana Menteri pada PRU15 nanti. Menurut Datuk Mohd Azizi Abu Naim, rakyat Malaysia memerlukan kepimpinan prihatin Muhyiddin yang terbukti menguruskan bencana pandemik Covid19 dengan baik, di mana kerajaan dan rakyat sekarang menikmati manfaatnya.
Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Bagan, Zaidi Hassan pula mahukan pucuk pimpinan menyediakan saluran penyampaian maklumat yang lebih proaktif bagi memastikan Bersatu dapat menangkis segala tohmahan daripada pihak lawan. Musuh politik seperti UMNO dilihat sangat ‘terdahulu’ dalam menyerang manakala Bersatu biasanya defensive.
Ketua Armada Bersatu Jempol, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh berkata Bersatu mesti meneruskan membawa mesej dan perjuangan Tan Sri Muhyiddin iaitu Prihatin Rakyat. Di samping itu beliau menyeru semua ahli Bersatu supaya mendokong dasar dan perjuangan parti, pada waktu yang sama kepimpinan atasan parti hendaklah menjaga akar umbi serta peka akan situasi semasa.
(Muhammad Noraffendy)
Isu perhatian dan keprihatinan pucuk pimpinan Bersatu kepada akar umbinya terus disuarakan. Ahmad Ridhwan Md Nordin yang merupakan Exco Armada Nasional merangkap Ketua Armada Tanah Merah, yang menyuarakan isu setempat berkata Bersatu wajib memperjuangkan peluang bagi ketua-ketua cawangan Bersatu supaya menjadi penghulu di kampung-kampung. Ini boleh membawa masyarakat kampung mengenali Bersatu. Gerak kerja ketua kampung yang rapat dengan penduduk, secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan pengundi setempat kepada parti Bersatu. Tambah beliau lagi, “yang sudah jadi menteri dan ada kuasa, jangan lupa kami di bawah.. perkasakan kami untuk kuatkan parti”.
(Ridhwan Nordin)
Alpian Hj Ahmad menggesa jentera Bersatu untuk PRu15 perlu diperkuatkan segera dengan tindakan yang lebih drastik seperti kursus-kursus dan latihan di setiap bahagian. Beliau yang juga AJK Bersatu Bahagian Gelang Patah mahukan budaya ‘cantas-mencantas’ di dalam parti dihentikan dan segera melantik serta melatih ketua-ketua pusat daerah mengundi. “Ini boleh membantu kita untuk memenangi pilihanraya”, kata beliau.
(Alpian Hj Ahmad)
Bagi Srikandi (Wanita) Dungun Mek Zaharah Husain, Â pula terus menyoal pucuk pimpinan Bersatu bahawa sejauh mana mereka concern dengan permasalahan orang di bawah ? “Pertelingkahan sayap-sayap di bahagian makin merebak dan membimbangkan. Ada sayap-sayap ini dinafikan hak atau diabaikan, tetapi apabila perlukan kudrat mereka atau sewaktu pemilihan dan persidangan, barulah ramai pimpinan akan datang berdamping”, katanya sikap seperti itu kelihatan tidak ikhlas kepada akar umbi.
Berpuluh lagi harapan serta komen terhadap parti baru ini diterima Berita Tular. Walaupun begitu, apa yang dapat disimpulkan di sini ialah ahli – ahli Bersatu seperti di atas masih menaruh harapan yang tinggi kepada parti mereka.
Bersatu tidak mempunyai liabiliti besar seperti UMNO di mana pemimpinnya dikaitkan dengan perkara-perkara negatif. Bersatu masih segar. Tetapi UMNO mempunyai jentera, pengalaman dan taktikal yang kuat berbanding Bersatu. Jika pucuk pimpinannya masih mempunyai cita-cita untuk menguatkan Bersatu pada PRU15 yang akan datang ini, ianya masih belum terlambat. Semuanya terletak di bahu pucuk pimpinan parti itu dalam mengorak langkah mereka bersama akar umbi. Kesetiaan ahli-ahlinya tidak boleh digugat, Strategi dan taktikal kemenangan harus diusahakan oleh kepimpinan Bersatu bermula dari sekarang.