spot_img
spot_img

Rakyat elak bayar cukai sebab takut ada pihak salah guna – Utusan

spot_img

PUTRAJAYA: Kerajaan melakukan kajian semula dan menetapkan sasaran baharu kutipan cukai langsung pada tahun ini iaitu berjumlah RM132 bilion berdasarkan senario ekonomi yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sasaran asal yang ditetapkan kerajaan sebelum ini bagi cukai langsung adalah sebanyak RM147 bilion manakala cukai keseluruhan termasuk cukai tidak langsung berjumlah RM174.4 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, cabaran utama pihaknya adalah bagaimana untuk mengikis tanggapan negatif orang ramai terutama pembayar cukai yang layak untuk membayar cukai pendapatan tetapi enggan menunaikan tanggungjawab mereka.

- Advertisement -

Ini kerana katanya, stigma hasil cukai itu lebih kepada ketirisan berbanding manfaat.

“Kita perlu sedar bahawa jasa cukai ini tetap besar dan telah berjaya membangunkan negara sehingga ke hari ini.

“Maka untuk mengubah stigma ini, aspek ketelusan dan kejujuran dalam membelanjakan pendapatan negara mestilah sentiasa menjadi amalan setiap agensi kerajaan,” katanya di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Mohd. Nizom yang baru dilantik mengemudi agensi itu bertekad mendukung hasrat ketelusan yang dilaungkan kerajaan dalam mentadbir cukai langsung agar pembayar cukai tampil secara sukarela menjalankan tanggungjawab mereka tanpa sebarang paksaan.

Katanya, dalam konteks ini, beliau percaya kesedaran atau pendidikan cukai yang berkesan akan memperbaiki tahap pematuhan cukai sekali gus turut akan meningkatkan kutipan hasil negara.

“Apa yang kita mahu ialah rakyat menjalankan tanggungjawab percukaian mereka secara sukarela kerana hanya dengan cara ini sahaja kita boleh menjamin kutipan cukai yang lebih mampan sepanjang masa,” katanya.

Mengulas pelaksanaan Cukai Makmur sebagaimana dalam intipati Bajet 2022, Mohd. Nizom berkata, pengenalan cukai itu sebanyak 33 peratus secara one-off atau sekali sahaja bagi perniagaan ini akan dilaksanakan untuk tahun taksiran 2022.

Katanya, ia terpakai kepada syarikat meliputi semua industri dengan pendapatan bercukai melebihi RM100 juta.

Menurutnya, dalam situasi pandemik, bukan semua syarikat atau perniagaan yang terjejas, sebaliknya masih terdapat syarikat mendapat manfaat dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Sehubungan itu, pengenaan cukai makmur ini adalah berpadanan kepada syarikat-syarikat yang memperoleh keuntungan tinggi.

“Saya fikir ia tidak membebankan majoriti pembayar cukai kerana seperti yang dimaklumkan Menteri Kewangan baru-baru ini bahawa tidak lebih 250 syarikat akan tertakluk kepada pengenaan cukai makmur ini. Hasrat kerajaan adalah menggunakan hasil cukai tambahan secara one-off ini bagi membiayai pelbagai program pemulihan negara akibat kesan pandemik,” katanya. – UTUSAN

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img