JOHOR BARU, 27 Dis — Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah hari ini mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana gagal memenuhi slogan “Keluarga Malaysia” dalam usaha membantu mangsa banjir yang memerlukan di seluruh negara.
Beliau menarik perhatian bahawa bantuan tunai RM1,000 sekali sahaja yang diberikan kerajaan kepada mangsa banjir adalah tidak mencukupi dan mempersoalkan tujuannya.
“Pak Long, adakah RM1,000 itu jumlah yang besar,” kata Mohd Hairi di laman Facebooknya.
Ismail Sabri merupakan naib presiden Umno dan pemimpin kanan parti nasionalis Melayu terbesar di negara ini.
Mohd Hairi turut merayu agar perdana menteri membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran RM10,000 di bawah skim i-Citra daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau menyeru Ismail Sabri yang juga ahli parlimen Bera supaya mendengar kesusahan rakyat khususnya mangsa banjir yang memerlukan pengeluaran itu sebagai cara untuk membina semula kehidupan selepas bencana itu.
Mohd Hairi berkata beliau tidak faham kenapa kerajaan tidak membenarkan rakyat untuk menggunakan wang simpanan hari tua mereka itu. Ketua Pemuda UMNO Johor ini dikatakan konsisten dalam memperjuangkan pengeluaran KWSP untuk memulakan ekonomi selepas pandemik Covid-19.
Mohd Hairi secara sini bertanya, “Jika kita membantu dengan RM10,000, adakah mereka akan menggunakan wang itu untuk perjalanan ke London?”
Beliau juga meminta penjelasan daripada kerajaan supaya menjelaskan kepada orang ramai tentang penggunaan dana KWSP sekiranya ia telah digunakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran RM10,000 di bawah skim i-Citra daripada KWSP.
Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat buat masa ini membenarkan mereka yang terjejas banjir membuat pengeluaran KWSP di bawah skim i-Citra.
Perdana menteri berkata pengeluaran KWSP tidak perlu kerana kerajaan menawarkan pelbagai bentuk bantuan kewangan lain kepada individu dan perniagaan untuk pulih daripada banjir.