KUALA LUMPUR, 24 Dis ― Datuk Seri Shahidan Kassim telah dipanggil oleh lembaga disiplin Umno berikutan dakwaan beliau melanggar disiplin dan etika parti.
Shahidan, yang juga Ketua Umno Bahagian Arau, tiba di ibu pejabat parti di Menara Datuk Onn kira-kira jam 2.45 petang semalam untuk bertemu dengan badan itu, menurut Sinar Harian.
Difahamkan pertemuan itu berlangsung selama sejam.
Ini susulan gesaan Ketua Pemuda Umno Arau Syed Atif Syed Abu Bakar supaya tindakan tatatertib diambil terhadap Shahidan, dengan mendakwa terdapat dakwaan pelanggaran disiplin parti semasa mesyuarat bahagian yang berlangsung pada 17 Oktober lalu.
Dalam surat aduan yang dihantar kepada Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan, Shahidan telah membenarkan paparan bendera Parti Pribumi Bersatu Malaysia bersama bendera Umno pada pelancaran mesyuarat bahagian Arau.
Ahli Parlimen Arau itu juga didakwa telah mengedarkan draf usul yang jelas melanggar pendirian parti kepada ketua-ketua cawangan malah memberi ucapan yang bercanggah dengan keputusan parti.
Shahidan sebelum ini berkata bahagian negeri akan terus bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang, walaupun pimpinan Umno dan akar umbi telah mengisytiharkan tidak akan berbuat demikian pada perhimpunan agung tahunan.