spot_img
spot_img

DAP tidak kawal PH, ia semua tuduhan UMNO yang tak terbalas

KULIM, 12 Dis — Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan semasa beliau menjadi perdana menteri buat kali kedua adalah kerana yakin dengan kemampuan Guan Eng bukan sebab desakan dari DAP.

Dr Mahathir berkata beliau pada mulanya tidak menjangkakan sebarang masalah berhubung pelantikan itu tetapi Pembangkang pada masa itu menuduh dirinya dikawal oleh DAP.

Dalam buku terbaharunya yang bertajuk Capturing Hope: The Struggle Continues For A New Malaysia, Dr Mahathir memberitahu versi beliau tentang peristiwa yang membawa kepada kejatuhan mendadak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018.

- Advertisement -

Beliau  yakin dengan keupayaan Guan Eng untuk menguruskan kewangan negara. Lagipun, Guan Eng pernah mengukuhkan kewangan negeri Pulau Pinang semasa beliau menjadi ketua menteri Pulau Pinang dan ini adalah kemahiran yang amat diperlukan negara untuk menangani masalah kewangan yang dicipta oleh kerajaan Najib dulu.

Dakwaan bahawa diri Tun Mahathir dikawal oleh DAP telah dimainkan oleh Umno tanpa henti sehingga beliau tidak mampu untuk membalas balik, tulisnya.

Di dalam hujahnya, Umno, yang merupakan Pembangkang pada waktu itu, memainkan naratif yang kerajaan PH berada di bawah kuasa orang ‘Cina’.

- Advertisement -

“Ia idea yang sangat perkauman dan tidak selamat tetapi ia penting dalam strategi mereka untuk melemahkan kerajaan. Tidak kira bagaimana kita menjelaskannya, mereka akan mengulangi bahawa Malaysia memerlukan kerajaan Melayu-Islam, dan DAP adalah anti-Islam dan berniat untuk menghancurkan orang Melayu, dan sebagainya.

“Ini semua adalah propaganda, dan ia datang dari pihak yang kalah dalam pilihan raya umum yang lalu. Tetaoi bagi rakyat Malaysia yang tidak begitu arif tentang politik, akan cenderung untuk termakan hasutan itu,” tulisnya.

Beliau berkata “cybertroopers” Umno bekerja keras untuk menegakkan idea bahawa DAP telah menjadi terlalu berkuasa.

Beliau berkata dalam beberapa bulan dalam tahun pertamanya sebagai perdana menteri kelapan, khabar angin tersebar bahawa Guan Eng mendominasi kerajaan dan mengawalnya.

“Ini jelas tidak benar. Seperti orang lain, Guan Eng mendengar pandangan semua pihak, dan dia tidak boleh memaksakan kehendaknya kepada Kabinet.

“Guan Eng adalah seorang menteri yang sangat kanan tetapi beliau juga merupakan anggota Kabinet yang dianggotai oleh lima parti. DAP memenangi 42 kerusi pada pilihan raya umum dan mereka mempunyai enam portfolio Kabinet. Bersatu memenangi 13 kerusi dan kita juga mempunyai enam menteri, seorang daripadanya adalah perdana menteri dan seorang lagi menteri dalam negeri.

“DAP tidak pernah menyoal saya mengenai kelebihan ini (walaupun ahli parlimen Bersatu sedikit). Dengan mengatakan bahawa saya berada di bawah kawalan DAP, ia adalah satu pembohongan. Selalunya, Guan Eng selalu merujuk saya dan meminta persetujuan saya pada semua inisiatifnya. Malah, dalam mesyuarat Kabinet, setiap kali beliau mencadangkan sesuatu, beliau akan menamatkannya dengan berkata ‘jika perdana menteri bersetuju,’” katanya.

Dr Mahathir berkata apabila Datuk Seri Najib Razak dan Umno mula memainkan naratif ‘ketakutan’ bahawa DAP akan “memusnahkan orang Melayu”, ia terus ‘bermain-main’ di dalam masyarakat akan sentimen tersebut kerana, selama bertahun-tahun, orang dalam Umno telah ditanam di dalam pemikiran bahawa DAP adalah musuh orang Melayu.

“Ahli DAP adalah komunis, pro-Cina chauvinis, dan sebagainya, dan kini mereka berada dalam Kerajaan: sudah tentu, mereka merancang untuk memusnahkan orang Melayu — dakwa UMNO.

“Fikiran sebegini boleh mempengaruhi orang Melayu. Sebenarnya DAP tidak pernah mengawal kerajaan Pakatan Harapan, dan tidak pernah mahu memusnahkan sesiapa pun.

“DAP tidak boleh berbuat apa-apa tanpa persetujuan Kabinet. Mereka akan bentangkan kertas di dalam Kabinet, dan kami akan berdebat. Kabinet menolak banyak cadangan mereka, yang merupakan urusan kerajaan biasa,” tulisnya.

Dr Mahathir berkata adalah perkara biasa dan normal di Malaysia untuk setiap kaum menjaga diri mereka sendiri.

Sebagai contoh, beliau berkata masyarakat Cina akan terus mendesak agar sekolah Cina dikekalkan dan bahasa Cina digunakan, malah sehingga mempelawa hanya orang yang fasih berbahasa Cina untuk memohon pekerjaan.

“Semua ini dilihat sebagai diskriminasi, tetapi ia adalah pendirian yang diambil oleh masyarakat Cina atas alasan mereka sendiri. Pendidikan dan penyuburan budaya adalah sangat penting kepada setiap komuniti, dan selalunya perniagaan yang melayani pelanggan berbahasa Cina memerlukan orang berpendidikan Cina untuk bekerja untuk mereka.

“Ini tidak menghalang orang Melayu berbahasa Cina daripada memohon, tetapi secara umum, semua orang bercakap tentang bangsanya sendiri; masyarakatnya sendiri.

“Kita adalah sebuah negara berbilang budaya, bukan negara homogen di mana semua orang adalah sama; dan adalah tidak benar untuk mendakwa bahawa kita tidak bersifat perkauman,” katanya.

Buku baharu Dr Mahathir dikeluarkan hari ini.

comments

Terkini

spot_img
spot_img