spot_img
spot_img

Bumiputera & Islam dijaga dalam Belanjawan 2022

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Agenda pemerkasaan Bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum di negara ini, dengan sejumlah RM11.4 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu, RM6.6 bilion adalah untuk kemudahan pendidikan anak Bumiputera, antaranya di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Peneraju.

Peruntukan tersebut disediakan untuk pinjaman pendidikan, program naik taraf daripada sijil kepada diploma serta usaha melahirkan golongan profesional Bumiputera dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan.

- Advertisement -

Menteri Kewangan itu berkata RM4.8 bilion lagi adalah untuk pelaksanaan pelbagai program pembinaan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Tekun Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

Dalam usaha meningkatkan penglibatan syarikat utama dalam membangunkan vendor Bumiputera tempatan, Tengku Zafrul berkata potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan mengurus yang layak akan dinaikkan daripada sehingga RM300,000 kepada RM500,000 dan dilanjutkan untuk tempoh lima tahun, sehingga 31 Disember 2025.

Tengku Zafrul berkata RM200 juta pula akan diperuntukkan bagi menggalakkan penyertaan belia Bumiputera dalam melaksanakan projek perolehan kerajaan berskala kecil.

- Advertisement -

Kerajaan melalui CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) akan mewujudkan program khas khususnya untuk kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus bina kapasiti dan latihan sambil bekerja dengan peruntukan RM10 juta.

Manakala RM1.5 bilion telah diperuntukkan untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Di bawah agenda pendidikan Islam, kerajaan akan melaksanakan inisiatif termasuk membina Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos keseluruhan bernilai RM65 juta.

Skop pengajaran Takmir di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diperluaskan kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 guru Takmir dan menyalurkan geran khas sekali sahaja sebanyak RM500 untuk manfaat 70,000 imam, kakitangan masjid dan guru.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan menyalurkan dana permulaan sebanyak RM10 juta untuk inisiatif Wakaf Halal, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana PKS bagi memperkukuh wakaf sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan untuk pembangunan ekonomi ummah.

“Firma korporat dan individu dialu-alukan untuk mewakafkan aset mereka ke dalam dana ini,” katanya. — petikan Bernama

comments

Terkini

spot_img
spot_img