PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh Green Packet Bhd, Oasis Capital Investment Bank (OCIB) telah menerima lesen bank pelaburan bersyarat dari Labuan Financial Services Authority (LFSA) hari ini.
Lesen bank pelaburan bersyarat itu adalah lampu hijau oleh LFSA untuk OCIB untuk memulakan syarat operasi seperti menyiapkan proses dan platform teknologi yang diperlukan, sesuai dengan keperluan peraturan. Lesen operasi penuh akan diberikan oleh LFSA setelah memenuhi aktiviti operasi ini.
Ketua Pegawai Eksekutif OCIB, Tan Kay Yen berkata, OCIB akan menerajui peranan kumpulan itu dalam ruang teknologi blockchain.
“Kami menjangkakan bahawa aset digital dan blockchain akan mempunyai kesan yang jauh lebih besar (market disruptive) berbanding dengan fintech konvensional kerana ia mengubah struktur asas ekosistem kewangan. Kami melihat potensi yang luar biasa di sektor ini dan akan berusaha untuk membantu pelanggan kami bagi memanfaatkan teknologi transformasi ini, ”kata Tan dalam satu kenyataan.
OCIB mempunyai objektif untuk menjadi perintis yang inovatif di antara pemian-pemain neobank luar pesisir Asia Tenggara, yang mengkhususkan diri dalam servis portfolio aset digital, perkhidmatan pengurusan serta produk dan perkhidmatan berstruktur, khusus untuk individu-individu yang bernilai tinggi (HNWI – High Networth Income Individual), institusi-insitusi dan sektor perniagaan.
Ini bertujuan untuk mengisi jurang di pasaran ini dengan menempatkan dirinya sebagai pembuka laluan yang dipercayai ke dunia kewangan crypto untuk golongan HNWI dan pelabur institusi. Sebagai bank pelaburan luar pesisir, OCIB akan mengumpul, menggunakan, dan mengoptimumkan portfolio dana dan aset digital pelanggan untuk memastikan bahawa pelanggan dapat memperoleh keuntungan dari kelas aset yang baru muncul ini sambil mengurus risiko. OCIB juga akan menyediakan perkhidmatan perbankan pelaburan konvensional seperti kekayaan swasta dan nasihat korporat dan penyelesaian dalam pengurusan modal kerja dan perkhidmatan perdagangan yang fokus kepada pelanggannya.
Tan berkata, cryptocurrency dan aset digital telah menyaksikan pertumbuhan dan penggunaan yang luar biasa selama bertahun-tahun dan kini mendapat manfaat daripada penyertaan serius dari pemain arus perdana seperti bank pusat dan institusi kewangan yang telah kukuh.