spot_img
spot_img

DAP Johor fokus pada golongan muda

spot_img

JOHOR BAHRU: Hasrat menjadikan DAP sebagai parti pilihan golongan muda dan juga wanita khususnya di Johor menjadi antara lima agenda yang digariskan parti tersebut di samping persediaan menghadapi pilihan raya.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dipetik dari Utusan berkata, DAP Johor kini bergerak ke arah menjadi parti pilihan utama golongan itu yang telah terbukti dalam pemilihan parti baru-baru ini di mana lima pemimpin wanita dipilih oleh akar umbi untuk menganggotai satu pertiga jawatankuasa negeri.

Kini, DAP Johor juga bangga mempunyai tiga daripada lima Ahli Parlimen dan tujuh daripada 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berumur bawah 40 tahun yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

- Advertisement -

“Usaha menumpukan kepada anak muda dan wanita bukan sahaja akan diteruskan sehingga PRU-15, malah akan menjadi salah satu agenda utama pasca PRU-15. Di samping itu, kita turut mahu merealisasikan DAP sebagai wadah pelbagai kaum sejak ditubuhkan 55 tahun lalu sebagai salah satu daripada lima agenda itu.

“Pendekatan inklusif ini telah menjadikan DAP sebagai parti pilihan untuk semua rakyat, khususnya sejak 2008. Lebih banyak usaha diperlukan untuk meluaskan matlamat ini dengan semangat muhibah dan amalan ‘Demokratik. Adil. Peduli’, DAP mampu menjadi wadah untuk semua Bangsa Johor dan anak Malaysia dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas lanjut, ADUN Paloh yang dilantik sebagai Penyelaras Agenda Baharu DAP Johor itu berkata, tiga lagi agenda utama yang dirangka adalah membuat persiapan menghadapi PRU-15 merangkumi persediaan jentera, petugas pilihan raya, gerak kerja akar umbi dan strategi kempen.

- Advertisement -

“DAP juga menyasarkan untuk menambah bilangan kerusi DUN dan Parlimen menerusi proses perundingan bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Johor dengan menjadikan formula ‘boleh menang’ sebagai pertimbangan utama.

“Kita juga menetapkan agenda membuat persiapan untuk mentadbir kerajaan berdasarkan pengalaman, kemampuan, kecekapan dan keberkesanan ahli-ahli Parlimen, ADUN, mantan ahli-ahli majlis, ketua kampung serta masyarakat akar umbi DAP Johor yang telah terbukti sepanjang tempoh PH menjadi kerajaan,” katanya.

Tambah Sheikh Umar, agenda yang turut akan dibincangkan termasuklah melaksanakan transformasi parti dengan mengambil konsep daripada sebuah kedai runcit kepada sebuah pasar raya besar selaras DAP yang bukan lagi parti kecil dan hanya tahu membangkang

Kata beliau, DAP kini merupakan sebuah parti arus perdana yang kini dalam proses meningkatkan kemampuannya untuk mengendalikan organisasi dan gerak kerja dengan lebih berkesan khususnya di Johor.

“DAP Johor akan meningkatkan kemampuan dalam pengurusan digital dan media baharu bagi memastikan urusan parti bergerak dengan lebih pantas dan efisien sebagai sebuah organisasi tersusun.

“Kita akan terus meningkatkan usaha pemerkasaan parti melalui retreat, latihan dan kursus supaya lebih bersedia mentadbir kerajaan yang mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat, tidak terperangkap dalam diskriminasi amalan ‘antara dua darjat’ dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran politik dan pentadbiran,” katanya. –KHAIRUL MOHD ALI

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img