spot_img
spot_img

UMNO bincang lagi kerjasama dengan PN

spot_img

KUALA LUMPUR – UMNO telah membuat keputusan untuk memanggil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini bagi memutuskan sama ada mereka akan meneruskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.

Namun yang menjadi persoalan sekarang ialah, bagaimanakah mesyuarat itu akan dilangsungkan dalam keadaan negara masih lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta larangan rentas negeri serta daerah.

Seorang ahli MKT ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima notis panggilan mesyuarat itu yang dijadualkan berlangsung di Akademi UMNO Janda Baik, Pahang pada Jumaat malam, selepas waktu Maghrib.

- Advertisement -

“Tapi saya sendiri belum membuat keputusan sama ada akan menghadiri mesyuarat berkenaan kerana urusan kepartian tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu oleh MITI.

“Jadi jika saya merentas negeri, ini bermakna saya mengambil risiko disaman oleh pihak berkuasa atau diarahkan berpatah balik. Tidak semua ahli MKT tinggal di Wilayah Persekutuan apatah lagi mesyuarat ini dijadualkan berlangsung di Janda Baik, Pahang,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa kesemua ahli MKT terdedah kepada kebarangkalian disoal siasat oleh pihak polis atau pihak berkuasa kerana berkumpul secara beramai-ramai dalam satu majlis.

- Advertisement -

“Jika pemimpin UMNO disiasat oleh pihak berkuasa kerana tidak patuh SOP, ini adalah tidak baik untuk imej parti atau pemimpin parti akan dilabel sebagai langgar SOP. Jadi timbul konflik di sini,” tegas beliau lagi.

Sumber-sumber memberitahu Sinar Harian, UMNO mahu MKT, sebagai badan kerja tertinggi parti membuat keputusan ini kerana usul yang dibawa oleh persidangan perwakilan bahagian yang selesai bersidang tahun lalu tidak dapat dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ekoran perintah darurat.

Menurut Perlembagaan UMNO, jika PAU tidak dapat bersidang untuk membahas dan meluluskan sebarang usul yang diputuskan oleh persidangan perwakilan bahagian maka badan tertinggi yang boleh membuat sebarang keputusan melibatkan hala tuju parti adalah MKT.

PAU 2020 yang sudah pun tertangguh akibat pandemik Covid-19, sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari lalu namun sekali lagi ditunda kerana perintah proklamasi darurat serta PKP.

Dalam pada itu, satu sumber lagi mendedahkan kepada Sinar Harian bahawa Bersatu pula memutuskan yang mereka bersedia duduk berunding dengan UMNO mengenai pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya selepas UMNO memutuskan sama ada untuk berada bersama-sama Perikatan Nasional (PN).

Buat masa ini, PN hanya secara rasmi dianggotai oleh Bersatu, Pas dan Gerakan. UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula hanya bersedia untuk bekerjasama dengan Pas melalui gabungan longgar Muafakat Nasional (MN).

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img