spot_img
spot_img

Tidak akan ubah undang-undang ketat berkaitan dadah

spot_img

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak akan mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan dadah berkaitan seperti yang tertakluk di bawah penguatkuasaan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ia kerana bahan itu jelas banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat walaupun baru-baru ini, Persidangan Semula Sesi Ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik yang diadakan di Vienna telah bersetuju untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961.

“Kerajaan telah menyasarkan ‘Dadah Terkawal 2025’ sebagai perancangan jangka masa lima tahun akan datang seiring dengan matlamat Dasar Dadah Negara.

- Advertisement -

“Perancangan yang bersifat inklusif dan holistik ini bertujuan menggembleng usaha di antara sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil ke arah pembangunan masyarakat yang bebas dadah,” katanya sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2021 malam ini.

Perutusan Perdana Menteri itu disiarkan melalui stesen televisyen utama negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, antara objektif utama Dadah Terkawal 2025 ialah membersihkan 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) seluruh negara, meluaskan liputan rawatan bagi meningkatkan kadar pemulihan penagih dadah, memperkasa penglibatan komuniti selain menggerakkan agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara bersepadu dalam menangani isu berkenaan dadah.

- Advertisement -

Katanya, sebelum ini pelbagai sasaran telah ditetapkan seperti Sifar Dadah dan Malaysia Bebas Dadah 2015 dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah yang terus menjadi musuh nombor satu negara sejak tahun 1983.

“Kerajaan juga komited untuk terus membasmi masalah dadah di negara kita supaya ia terkawal dan dapat dibendung secara terancang.

“Isu penyalahgunaan dadah merupakan isu global yang kompleks dan sukar untuk dibendung sepenuhnya berikutan perubahan trend dan kemunculan jenis dadah baharu di pasaran global,” katanya.

Sehungan itu, Muhyiddin berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedang membangunkan Indeks Antidadah sebagai kaedah mengukur keberkesanan dari segi penguatkuasaan.

Selain usaha kerajaan, Muhyiddin merayu semua rakyat turut menanamkan azam untuk memainkan peranan melalui program ambil peduli dan sokongan sosial oleh pemimpin komuniti bagi mewujudkan persekitaran kejiranan selamat dan bebas kegiatan penyalahgunaan dadah.

Katanya, program belia juga perlu diatur dengan penekanan kepada aspek pembangunan sahsiah dan jati diri, justeru, semua institusi pendidikan dan keagamaan menjadi pengantara terbaik dan berkesan untuk mendidik dan memberi kesedaran tentang bahaya ketagihan dadah.

Perdana Menteri turut mengajak semua pihak agar dapat menyumbang dalam aktiviti kesukarelawanan di bawah Skuad Antidadah yang bertindak sebagai ejen perubahan dalam komuniti.

“Program pencegahan dadah yang diadakan dapat membantu memulihkan individu yang terlibat dalam ketagihan dadah,” katanya.

Muhyiddin turut menyeru semua rakyat memainkan peranan memastikan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan rawatan dan pemulihan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sebagai contoh, sekiranya mana-mana individu ataupun ahli keluarga didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah, ikhtiar perlu dilakukan untuk mereka hadir ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya secara percuma.

“Sokongan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat setempat adalah amat penting. Ia adalah sebahagian kejayaan proses rawatan dan pemulihan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau turut berharap Hari Antidadah Kebangsaan tahun ini yang bertemakan ‘Lebih Baik Cegah’ memberi mesej yang jelas bahawa masalah penyalahgunaan dadah boleh dicegah lebih awal dengan kerjasama semua pihak.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan memperkukuhkan tekad dan azam dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang sifar dadah agar kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dapat dikecapi bersama,” katanya. – Bernama

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img