spot_img
spot_img

Apa nasib industri buku kita?

spot_img

Rakyat Malaysia dikatakan masih amat kurang membaca. Bagaimanapun, terdapat pelbagai pandangan dan hujah yang bercanggah mengenai perkara ini.

Ada pihak mengatakan, kehadiran media sosial dan akses mudah menerusi telefon pintar membuatkan orang ramai kurang berminat membaca bahan bercetak seperti buku, majalah, dan akhbar.

Sekiranya diperhatikan, kandungan akhbar dan majalah sudah boleh diakses secara dalam talian. Maka tidak hairanlah ramai orang memilih cara itu untuk mendapatkan maklumat dan berita terkini.

- Advertisement -

Bahan bacaan berupa buku juga sudah ada dalam bentuk digital dan boleh dibaca pada skrin komputer dan telefon pintar. Format ini bukan hanya menarik minat generasi muda tetapi juga generasi lama yang amat gembira kerana mampu mengakses dan membaca pelbagai buku dalam pelbagai genre.

Maka secara umum, sudah timbul persoalan tentang pandangan dan ‘data’ yang mengatakan rakyat Malaysia kurang membaca. Sesungguhnya di sebuah negara maju sekalipun, kita tidak boleh mengharapkan kesemua penduduk menjadi pembaca tegar.

Sekadar contoh, kadar literasi di Kerala, India melebihi 96 peratus. Hal ini tidak semestinya bermakna kesemua individu yang celik huruf serta mampu menulis dan membaca akan memilih untuk menjadi peminat setia bahan bacaan.

- Advertisement -

Pandemik Covid-19 sejak setahun lalu turut memberi kesan buruk kepada industri buku. Realiti ini dapat diperhatikan di depan mata. Akan tetapi sekiranya diteliti, hal yang sebaliknya juga dapat dikesan. Memanglah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak besar kepada industri perbukuan secara umum. Misalnya, banyak kedai buku terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kos.

PESTA BUKU

Terdapat juga penerbit buku dan majalah yang mengeluh serta terpaksa menutup operasi atau mengurangkan penerbitan susulan Covid-19. Syarikat penerbitan besar pun turut menerima tempias. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) masih mampu bertahan kerana menerima dana kerajaan.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tidak dapat diadakan pada tahun lalu dan mungkin juga tahun ini. Akibatnya, ramai penerbit dan pedagang buku mengeluh, lalu cuba mencari jalan alternatif. Misalnya penganjuran pesta buku secara maya dan dalam talian.

Maka secara umum, seluruh industri buku digambarkan seolah-olah tidak mampu untuk terus bertahan. Banyak pula persatuan penulis yang merayu bantuan dana kerajaan untuk terus bernafas.

Mungkin juga para Sasterawan Negara masih mampu menarik nafas lega kerana menerima elaun penghargaan bulanan RM5,000 sejak Jun 2019. Elaun ini bertujuan menjamin kebajikan, kesejahteraan, dan memberi keselesaan kepada mereka supaya boleh terus-menerus menyumbangkan idea, pemikiran, keilmuan serta menghasilkan karya bermutu tinggi.

Bagaimana pula dengan para penulis biasa yang tidak menerima sebarang elaun bulanan? Apatah lagi penulis sepenuh masa yang mendedikasi sepenuh masa dan tenaga kepada bidang penulisan dan perbukuan?

Kita belum mendengar berita golongan penulis gulung tikar. Sementara persatuan penulis (yang tidak semestinya dipimpin golongan penulis) merayu dana dan simpati kerajaan, para penulis berjiwa kental terus melakukan apa yang paling disukai, iaitu menulis.

Apabila penerbit mengurangkan operasi dan tidak mahu mengambil risiko menerbitkan buku baharu, para penulis mencari alternatif. Apabila kedai buku dan pedagang buku tidak mahu mengedarkan buku, para penulis mencari jalan lain.

SWATERBIT

Sekiranya diperhatikan, sejak setahun lalu, semakin ramai penulis mengamalkan swaterbit. Mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penerbit untuk memastikan hasil tulisan mereka lahir dalam bentuk buku. Memanglah ada penulis yang terus mengeluh dan masih mendesak kerajaan tampil membantu. Namun, golongan penulis yang berjiwa kental pula memikirkan cara-cara yang boleh digunakan untuk terus menghasilkan karya bermutu dan memastikannya sampai kepada pembaca.

Buku-buku dicetak dalam jumlah yang sedikit dan diedarkan sendiri oleh para penulis. Rangkaian sokongan dibina bersama-sama rakan-rakan penulis. Pelbagai individu terlibat dalam industri juga tampil membantu atas kapasiti masing-masing. Misalnya, pereka letak, ilustrator, penyunting dan ejen pemasaran. Maka muncul gelombang baharu kumpulan penulis, penerbit dan pengedar buku kecil-kecilan yang bergabung tenaga demi kesejahteraan bersama.

Di Facebook, muncul laman seperti Sokong Karya Penulis Malaysia dan Buku Apa Terbit Hari Ini yang bertujuan membantu para penulis untuk terus bernafas. Kedai buku Fixi yang dimiliki oleh penulis dan aktivis buku, Amir Muhammad, membantu secara senyap. Begitu juga Gerak Budaya yang digerakkan oleh pencinta buku. Baru-baru ini, Shiny Universes Sdn. Bhd. dan Action Jijin Berhad tampil memberi subsidi RM2,000 kepada 50 persatuan penulis, kebudayaan dan kesenian.

Bagaimana pula sambutan masyarakat terhadap bahan bacaan? Sesungguhnya, Covid-19 turut mengurangkan jumlah peruntukan keluarga untuk membeli bahan bacaan. Pada masa sama, halaman seperti Kolektor Buku-buku Se-Malaysia di Facebook terus rancak. Masih ramai yang membeli buku secara dalam talian. Buku-buku lama dan baharu terus mendapat sambutan.

PKP turut membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk meluangkan masa menikmati buku. Apatah lagi ia suatu aktiviti yang tidak melibatkan kos besar. Maka, penulis dan masyarakat boleh saling membantu dengan terus menulis, menerbit, membeli, dan membaca buku tempatan.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img