Disney dilihat memfokuskan kepada arena penstriman video tersendiri mereka untuk tahun 2021 ini. Bagi pasaran Malaysia, Disney bakal menawarkan perkhidmatan yang dinamakan sebagai Disney+ Hotstar.
Untuk makluman, Hotstar merupakan salah satu perkhidmatan penstriman yang sedia ditawarkan di India dibawah Star India, dan telah diambil-alih oleh Disney pada 2018 yang lepas ketika membeli 21st Century Fox. Ia sedia menawarkan sejumlah kandungan memfokuskan pengguna Asia, dan kini dilihat Disney akan menawarkan perkhidmatan Disney+ dibawah jenama berkenaan untuk rantau ini.
Melalui Aksiz, kini laman rasmi Facebook dan Instagram untuk Disney+ Hotstar Malaysia yang rasmi telah pun aktif, dan telah berkongsi gambar pertama dengan teks “Loading” sekaligus memberikan petanda ia bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Buat masa ini, perkhidmatan Disney+ Hotstar sedia ditawarkan di Indonesia. Melaluinya, ia menawarkan pelbagai kandungan dari Disney+, dan pada masa yang sama menyertakan kandungan tambahan dari India dan juga Indonesia. Kita mungkin boleh melihat penawaran lebih kurang sama untuk pasaran Malaysia kelak.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenainya untuk pasaran tempatan.
SUMBER RUJUKAN: AKSIZ