spot_img
spot_img

Ekuinas komited bantu usahawan bumiputera

spot_img

EKUITI Nasional Bhd (Ekuinas) menerusi unit tanggungjawab sosial korporatnya, ILTIZAM komited membantu usahawan bumiputera untuk maju dan terus berdaya saing dalam pasaran tempatan dan global.

Pengarah Hal Ehwal Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, melalui Program Mentor Usahawan (EMP) yang dahulunya dikenali sebagai Program Pembangunan Kapasiti Usahawan sebelum penubuhan ILTIZAM, bertujuan membangunkan kemahiran yang diperlukan oleh perusahaan mikro dan kecil untuk mencapai potensi dan meningkatkan kebolehan mereka.

“Kami membantu usahawan untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka ke fasa pertumbuhan seterusnya dengan mengukuhkan perniagaan tersebut menerusi pelaburan dalam sistem, alat pemasaran dan kemudahan lain yang diperlukan mengikut keperluan perniagaan. Bengkel diagnostik dan analisis bersama Ekuinas ialah titik permulaan yang dijalankan untuk perusahaan-perusahaan terlibat.

- Advertisement -

“Pendekatan ini direka khas dengan kaedah soal selidik berdasarkan andaian untuk mengenalpasti punca utama cabaran-cabaran yang meliputi sembilan bidang seperti model perniagaan, pendapatan, kos, produk, pengedaran, pemasaran, kebolehan, pengurusan kewangan dan sokongan perniagaan,” katanya.

Hizwani berkata, pihak Ekuinas mahu membantu usahawan kecil bumiputera yang tidak menepati kriteria pelaburan Ekuinas dengan memberikan mereka akses kepada sumber dan membina hubungan dengan rakan kongsi.

“Usahawan tersebut akan melalui proses bimbingan dan pemantauan selama enam bulan hingga satu tahun untuk mengenal pasti dan memahami masalah utama perniagaan,” terangnya.

- Advertisement -

“Menariknya RDH diusahakan oleh Ahmad Safuan Nizam Kamarudin, 32, yang memulakan perniagaannya dengan menawarkan perkhidmatan ubah suai pakaian (alter) di kedai yang terletak di stesen bas Besut.

“Kami memilih RDH kerana ia berpotensi untuk dikembangkan dan memberikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang majoritinya lulusan universiti.

“Kami melakukan soal selidik untuk mengenal pasti cabaran utama yang dihadapi oleh RDH dan pelan tindakan kami adalah merangka kerja berasaskan penyelesaian yang disuaikan untuk menangani cabaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata, RDH mempunyai cabaran dalam pengurusan kewangan tetapi mempunyai cita-cita yang besar dalam perniagaan jeans.

“Kini perniagaan RDH semakin maju dan berkembang dalam pembuatan seluar jeans. Mula-mula hanya mempunyai beberapa mesin jahit sahaja dan beroperasi di kedai yang kecil tapi kini mempunyai pelbagai mesin jahit khusus untuk jeans dan memiliki kedai yang bersaiz besar,” jelasnya.

Katanya, melalui program itu, RDH mendapat khidmat nasihat, pengurusan kewangan dan cara pemasaran yang betul membolehkan ia menaiktaraf perniagaannya.

Sementara itu, Ahmad Safuan berkata, sebagai seorang usahawan desa, beliau tidak tahu mengenai program yang disediakan oleh Ekuinas untuk membantu usahawan sepertinya.

“Ketika pertama kali mereka datang menemui saya, saya terkejut kerana mereka tahu tentang RDH. Selepas mereka menerangkan mengenai program di bawah ILTIZAM, saya faham dan saya mahu mendapatkan nasihat daripada mereka.

“Bantuan yang saya terima bukanlah dalam bentuk kewangan tetapi dari segi khidmat nasihat dan memperbetulkan sistem kewangan serta menambahbaik model perniagaan saya. Saya belajar banyak perkara baharu daripada mereka,” katanya.

Hizwani berkata, sejak tahun 2018, selepas mengenal pasti cabaran perniagaan yang dihadapi RDH, ILTIZAM telah memulakan inisiatif-inisiatif seperti mengukuhkan kefahaman mengenai kewangan syarikat dengan menambah baik penyediaan penyata kewangan.

“Kami juga meningkatkan penampilan dan kebolehpasaran jeans buatan mereka dengan membina laman web e-dagang interaktif untuk seluar jeans khas untuk syarikat,” katanya.

Hizwani menambah lagi, pelaksanaan projek ujian pasaran untuk membina kesedaran jenama dan meningkatkan keupayaan RDH ke pasaran dan pembangunan kapasiti untuk produk siap pakai (ready-to-wear), pembuatan denim dan mendapatkan bekalan jahitan.

“Dan yang paling baharu, projek kolaboratif bersama Kapten Batik yang menggabungkan seni batik dengan denim,” ujarnya.Jualan meningkat

Menurut Ahmad Safuan, selepas mendapat bimbingan daripada Ekuinas, beliau semakin yakin dengan perniagaan yang dijalankan.

“Pada tahun 2019, saya berjaya menjual 50 helai seluar jeans sebulan dan meningkat kepada 100 helai seluar jeans pada tahun 2020. Meskipun berdepan dengan pandemik Covid-19, saya tetap meneruskan perniagaan saya,” katanya.

Beliau menjangkakan jualan seluar jeans dan barangan RDH yang lain akan meningkat pada tahun 2021 didorong oleh strategi syarikat untuk terus kukuh dalam perniagaan menerusi jualan atas talian (online).

“Sebelum ini, saya pernah menjual secara online dan berjaya mencatatkan jualan sebanyak 200 helai seluar jeans berharga RM400 sehelai dalam tempoh 1 jam 40 minit. Saya terkejut dan menyangka tidak akan mendapat sambutan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” ujarnya.

Katanya, kebanyakan pembeli seluar jeans RDH ialah rakan-rakan, pelanggan dan golongan ternama dan menteri.

“Saya menghasilkan seluar jeans Selvedge dan mengutamakan kualiti serta selesa dipakai oleh masyarakat di negara ini,” katanya.

Menurut Hizwani, ketika kebanyakan syarikat berdepan dengan kesan pandemik Covid-19, ILTIZAM turut menghulurkan bantuan membantu usahawan-usahawan yang berada di bawah program EMP.

“Kami membantu tiga syarikat untuk membolehkan mereka membayar gaji dan sewa bagi membolehkan syarikat terus kekal. Nilai bantuan yang diberikan ialah khusus untuk syarikat berkenaan mendepani Covid-19,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan pada masa akan datang, Hizwani berkata, ILTIZAM juga menyasarkan untuk membantu lima syarikat bumiputera pada tahun 2021.

Perusahaan bumiputera yang berminat boleh berhubung dengan Ekuinas menerusi e-mel di info@ekuinas.com.my.

 

 

 

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img