TERKINI
Buletin Dalam Negara

PM turun lawat keadaan banjir di Pahang

January 10, 2021 7:29 pm –

10 Januari : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun melawat Temerloh dan Maran hari ini. Dua kawasan itu adalah daripada tujuh daerah di Pahang yang paling teruk dilanda banjir. Perdana Menteri telah mengunjungi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh dan SMK Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Maran, bagi meninjau keadaan di situ.

Perdana Menteri sempat meninjau keperluan mangsa banjir dan memastikan kebajikan mereka terjaga. Hadir sama pada lawatan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim serta pegawai-pegawai kanan agensi berkaitan.

”Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama memastikan kebajikan setiap mangsa banjir tidak terbatas hanya dari segi penyediaan bekalan keperluan harian semasa berlindung di PPS sahaja sebaliknya perlu diteruskan sehingga tempoh tertentu yang difikirkan sesuai selepas mereka pulang ke rumah. Hal sama turut melibatkan aspek lain seperti membaik pulih kediaman mereka yang rosak. Langkah ini untuk memastikan mangsa tidak terus berada dalam keadaan trauma akibat musibah ini”, ujar Perdana Menteri.

Beliau juga telah meminta agar Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan segera menumpukan usaha membaik pulih infrastruktur yang rosak teruk akibat banjir seperti jalan raya, masjid dan sekolah.

Selepas itu, Perdana Menteri bertemu mangsa banjir termasuk warga emas yang berlindung di PPS dan bertanyakan keadaan kesihatan mereka. “Rata-rata yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan PPS dengan kemudahan memuaskan di samping petugas yang sentiasa memastikan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19”, kata beliau.

Perdana Menteri juga telah mengarahkan pengurusan PPS dan NADMA supaya menyediakan dua khemah kepada keluarga yang mempunyai bilangan lebih daripada enam orang. Ini bagi menjamin keselesaan kepada mereka sepanjang berada di pusat penempatan itu.

Kini di Temerloh terdapat 91 PPS yang dihuni 11,589 mangsa daripada 3,178 keluarga. Daripada jumlah itu, sebanyak 197 keluarga yang membabitkan 852 mangsa adalah dari PPS SMK Seberang Temerloh.

 

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid