TERKINI
Bisnes Luar Negara

Nilai Tesla atasi Facebook

January 9, 2021 12:18 pm – aiman adzhar

LONDON: Saham Tesla melonjak ke rekod tertinggi kelmarin dengan nilai pasaran saham syarikat pembuat kereta elektrik itu mengatasi Facebook buat pertama kali.

Saham syarikat pimpinan Elon Musk itu melonjak hampir lapan peratus, menutup sesi pada AS$816 (RM3,298.68) sekali gus meletakkan modal pasarannya pada AS$774 bilion (RM3.13 trilion).

Ini menjadikan Tesla syarikat kelima paling bernilai di Wall Street, di belakang Alphabet yang memiliki Google dan mengatasi Facebook.

Nilai pasaran saham Facebook ialah AS$765 bilion (RM3.09 trilion) selepas sahamnya meningkat kira-kira dua peratus, menurut data daripada Refinitiv.

Lebih AS$39 bilion (RM157.66 bilion) saham Tesla didagangkan semasa sesi kelmarin. Ia merupakan rekod tertinggi buat Tesla dan nilai itu melebihi gabungan nilai saham untuk tiga syarikat lain yang paling banyak didagangkan, iaitu Apple, Alibaba Group dan Amazon.com.

Nilai Tesla meningkat lebih 700 peratus dalam tempoh 12 bulan dan menjadikannya syarikat automotif paling bernilai di dunia setakat ini, walaupun pengeluarannya hanya sebahagian daripada pesaing lain seperti Toyota Motor, Volkswagen dan General Motors.

Kelmarin, Musk turut mengatasi Jeff Bezos sebagai manusia paling kaya di dunia, menurut Bloomberg.

Peningkatan nilai Tesla hadir selepas RBC meningkatkan rating sahamnya daripada berprestasi rendah (underperform) kepada prestasi sektor (sector perform).

Penganalisis RBC, Joseph Spak dalam nota kajiannya berkata, beliau sebelum ini memandang rendah kemampuan Tesla untuk memanfaatkan harga sahamnya yang melonjak untuk mengumpul modal bagi mendanai pembesaran syarikat.

“Kami melihat semula peluang pertumbuhan, kami tersilap tentang kedudukan Tesla dan penilaiannya. Kami simpulkan bahawa harga saham itu sendiri dilihat mampu mendanai pertumbuhan dan strategi Tesla,” katanya.

Secara umum, penganalisis menjangkakan Tesla mencatat untung bersih sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.85 bilion) pada 2020 berbanding jangkaan untung bersih AS$5.8 bilion (RM23.45 bilion) oleh General Motors dan AS$27.1 bilion (RM109.55 bilion) oleh Facebook, menurut Refinitiv. – AGENSI

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid