TERKINI
Pendapat

PKP seharusnya menjadi pilihan terakhir kerajaan

January 8, 2021 6:06 pm – Kamal Hafiz

Malaysia mencatatkan 3,027 kes positif Covid-19 pada 7 Januari 2021, iaitu kes paling tinggi direkodkan dalam tempoh sehari. Situasi ini kian membimbangkan dan kerajaan tidak mempunyai hala tuju untuk membuat tindakan lanjut membasmi penularan virus  Covid-19.

Komunikasi kerajaan kian lumpuh. Ada pihak sedang mendesak membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau kawalan pergerakan yang lebih ketat. Ada pihak pula tidak bersetuju dengan PKP atas faktor kemerosotan ekonomi.

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mencadangkan pelaksanaan PKP semula dengan pendekatan lebih bersasar dan sederhana. Saya berpendapat beliau mengemukakan cadangan ini kepada orang awam agar dapat “menekan” kepemimpinan politik untuk menerimanya. Nampaknya, macam PKP sahaja pendekatan tunggal kerajaan untuk melawan Covid-19.

Saya meminta kerajaan secara menyeluruh untuk membuat keputusan mengenai hala tuju seterusnya dan tetap dengan pendirian tersebut.

Malangnya, selepas sebelas bulan PKP dilaksanakan, bermula 18 Mac 2020, ia sepatutnya menjadi pilihan terakhir, bukan lagi pilihan utama. Negara perlu bersedia  mengharungi kehidupan Covid-19 sekurang-kurangnya sembilan bulan lagi sehingga agihan vaksin diterima oleh orang ramai.

Kerajaan perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka sudah lakukan segala yang mungkin sebelum melaksanakan PKP. Hakikatnya, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh dilaksanakan kerajaan sebelum melaksanakan PKP semula.

Saya mengemukakan lima tindakan segera untuk kerajaan laksanakan sebelum mempertimbangkan PKP baharu:

Pertama, saringan,saringan, saringan! 

Kadar melakukan ujian saringan masih belum sampai pada tahap yang membolehkan orang ramai melakukan ujian pada bila-bila masa yang mereka perlukan. Kementerian Kesihatan masih menggunakan kaedah lama dengan melakukan ujian saringan hanya kepada individu bergejala. Namun, kita sedia maklum bahawa sebanyak 20 peratus kes positif tidak bergejala, tetapi mempunyai risiko penularan yang sama. Realitinya, idea memfokuskan ujian saringan kepada individu bergejala tidak lagi relevan dan ia tidak meredakan situasi sekarang.

Sektor kesihatan swasta perlu diberi peranan yang lebih besar untuk melipatgandakan usaha saringan dengan harga yang berpatutan. Ujian saringan bukanlah sesuatu yang rumit dan boleh dilakukan dengan menyelaraskan usaha kita. Kit ujian saringan Antigen (RTK-Ag) yang lebih murah perlu digunakan berbanding ujian PCR bagi membantu merendahkan penularan Covid-19.  ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran membuktikan ujian saringan boleh dilakukan dengan mudah apabila beliau memperkenalkan inisiatif yang memberi akses kepada orang awam menjalani saringan Covid-19 dengan harga RM70 tanpa subsidi kerajaan. Kit saringan tersebut menelan kos antara RM 150 hingga RM 180 di pusat perubatan swasta.

Pencegahan awal dapat membantu kita menganalisis situasi dengan lebih cermat dan mengurangkan kos perbelanjaan jika dibandingkan pelaksanaan PKP di seluruh bandar dan negeri.

Kedua, ketelusan data

Saya memohon Kementerian Kesihatan menghentikan praktis melabel nama-nama kluster yang sebenarnya tidak mendatangkan manfaat kepada orang awam dan mengaburi data yang tepat.

Setiap hari, kita ingin tahu berapa banyak penjara yang terkesan, tempat tinggal pekerja kilang yang mempunyai kes penularan berisiko tinggi dan pusat beli belah yang terdapat peningkatan kes Covid-19.

Ketelusan data membolehkan kerajaan dan orang awam membuat keputusan dan tindakan yang efektif, baik dari segi sistem mahupun keselamatan individu.

Ketiga, Penjara

Lebih 10 peratus kes positif Covid-19 berpunca daripada penjara dan pusat tahanan. Terdapat lebih 10 peratus pegawai penjara dan dan tahanan terkesan dengan Covid-19. Tahanan berisiko tinggi untuk terdedah kepada penyakit berjangkit apabila terapksa duduk dalam keadaan sempit akibat kesesakan penjara. Pihak berwajib perlu bertanggungjawab kepada pegawai penjara, tahanan dan negara untuk melindungi penjara daripada menjadi tempat penularan virus yang berbahaya.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azalina Othman Said telah cuba untuk memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini. Malangnya, Kementerian Dalam Negeri pula kurang menunjukkan komitmen yang sama untuk bertindak dalam isu penjara.

Pada 5 Oktober, Jabatan Penjara mengenalpasti 11,000 orang tahanan menjalani hukuman kurang daripada setahun dengan berbaki kurang tiga bulan dalam penjara yang layak mendapat Pembebasan Banduan Secara Berlesan (PBSL) untuk mengurangkan kesesakan penjara. Sehingga kini, hanya 500 orang tahanan dibebaskan setiap bulan dibawah PBSL sejak Oktober dan tindakan ini tidak cukup untuk mengurangkan kesesakan penjara. Pendekatan menyeluruh kerajaan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, PDRM, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan dan pihak berwajib yang lain penting untuk memberi jaminan bahawa tahanan yang dibebaskan berada dalam keadaan yang baik dan tidak mengulangi kesalahan lama.

Terdapat keperluan mendesak untuk menambahbaik perkhidmatan kesihatan penjara yang masih terhad. Ketika penjara berada dalam risiko pada waktu pandemik Covid-19,  petugas kesihatan di penjara perlu ditambah untuk memastikan tiada penularan virus di  penjara.

Keempat, Pekerja Asing 

Perlu ada pemikiran baharu mengenai pekerja asing dan keadaan tempat tinggal mereka. Tentunya, ada pendekatan berkesan untuk melaksanakan ujian saringan semaksima yang mungkin disamping usaha untuk melakukan penjarakan fizikal di tempat tinggal mereka.

Buat masa sekarang, perlu ada pendekatan yang memberi jaminan kepada pelarian dan pekerja asing tanpa izin bahawa ujian saringan Covid-19 bukanlah satu perangkap pihak berwajib untuk menahan mereka di dalam lokap dan depot tahanan. Jika tidak, mereka akan terus bersembunyi dan penyebaran wabak Covid-19 akan berlaku secara meluas.

Kelima, adakah setiap kes positif perlu dimasukkan ke hospital? 

Pengarah Kesihatan menyatakan katil di hospital kian penuh akibat peningkatan kes Covid-19. Persoalan serius yang perlu dibangkitkan bersama: adakah mereka yang tidak menunjukkan gejala akan ditempatkan di pusat kesihatan yang disediakan atau terdapat alternatif lain untuk mengatasi masalah ini?

Dalam memerangi Covid-19, alat bantuan pernafasan dan katil di ICU ialah sumber perubatan yang penting. Kita boleh bersetuju bahawa kedua-duanya dapat mengelakkan kes kematian. Selain sumber-sumber ini, kita perlukan penyelesaian alternatif menguruskan pesakit positif yang tidak bergejala dengan mengurangkan kebergantungan kepada sumber kesihatan. Perkara ini termasuk SOP dan garis panduan kuarantin di rumah yang jelas dan memanfaatkan penggunaan aplikasi digital dan alat komunkasi kesihatan untuk mengenalpasti, membantu dan mengawal selia perkembangan pesakit. Pakar kesihatan daripada pelbagai bidang perlu membahas dan membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.

Kesimpulannya, kerajaan sepatutnya membentangkan “perancangan sembilan bulan”  dalam mengendali setiap aspek berkaitan krisis Covid-19, termasuk pelan pemberian vaksin. Sesi libat urus perlu dilakukan sega]era dengan pemegang taruh dan pakar dalam pelbagai bidang melalui institusi parlimen dan jawatankuasa parlimen dwi-partisan.

Rakyat Malaysia selayaknya menerima yang lebih baik.

-Liew Chin Tong-

 

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid