TERKINI
BERITA Buletin Dalam Negara Sukan

Syarikat automotif tempatan bakal pemilik KDA FC

January 7, 2021 10:12 am – denver

Kubang Pasu: Gabungan dua syarikat automotif tempatan dijangka membeli 80 peratus saham Darulaman FC Sdn Bhd (DFC) yang kini dimiliki Menteri Besar Incorporated (MBI) bernilai RM24 juta, sekali gus menjadikan mereka sebagai pemilik pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Go Auto Group dan Flumen Holdings Sdn Bhd akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dimeterai dalam tempoh terdekat.

Katanya, SPV terbabit akan memegang saham majoriti DFC secara konsesi selama tempoh lima tahun dan dibenarkan menyambung selama lima tahun lagi tertakluk kepada perjanjian.

“Pemilihan kedua-dua syarikat ini berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan pembangunan perniagaan bola sepak yang membawa nilai dan aktiviti pelaburan berimpak tinggi kepada negeri.

“Pemilik syarikat ini juga adalah anak jati Kedah selain ada dalam kalangan mereka berpengalaman dalam pengurusan sukan bola sepak sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda di Felda Laka Selatan, hari ini.

Sebelum ini, Go Auto mempunyai operasi kilang automotif di Gurun sejak 2015 bagi mengeluarkan kenderaan jenama seperti Haval dan Borgward dari China serta bas elektrik jenama Go Auto sendiri.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sudah mengarahkan KDA FC melakukan perbincangan lanjut bersama syarikat terbabit bagi memuktamadkan pembelian berkenaan segera.

“Dia (syarikat) membuat penawaran tadi, selepas ini kita akan arahkan KDA FC yang dimiliki MBI untuk berunding, saya ingat satu rundingan sudah cukup kerana ada pihak sudah mahu membeli saham.

“Setelah diperhalusi dan dipersetujui dalam Mesyuarat EXCO hari ini, kita bersetuju menjual saham bernilai RM24 juta berkenaan kepada mereka,” katanya.

-M Hifzuddin Ikhsan Arena Metro

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid