TERKINI
Bisnes KEWANGAN

Pertimbang lesen bank digital

January 4, 2021 1:51 am –

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempertimbangkan sehingga lima lesen perbankan digital bagi pemohon yang layak dengan pembe­ritahuan mengenai pemberian lesen diumumkan pada suku pertama 2022.

Menurut BNM dalam kenya­taan, permohonan untuk menjalankan perniagaan perbankan digital atau perniagaan perbankan digital secara Islam hendaklah dikemukakan kepada bank pusat itu selewat-lewatnya pada 30 Jun 2021.

Katanya, pemohon lesen bank digital juga perlu mengikut prosedur permohonan yang dinyatakan Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital dan prosedur permohonan untuk lesen baharu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA).

BNM berkata, pemohon turut perlu mengikut Prosedur Permohonan Perolehan Kepentingan dalam saham dan menjadi Syarikat Pemegangan Kewangan.

“Bank Digital perlu mematuhi keperluan di bawah FSA atau IFSA termasuk piawaian mengenai kehematan, syariah, amalan perniagaan dan perlindungan pengguna serta pencegahan pengubahan wang haram serta pembiayaan keganasan.

“Dalam fasa asas, bank digital berlesen akan tertakluk pada keperluan pengawalseliaan yang dipermudah berkaitan dengan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan, tadbir urus syariah dan keperluan penzahiran awam,” katanya dalam kenyataan semalam.

BNM mengeluarkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Pe­lesenan Bank Digital semalam setelah berakhirnya tempoh maklum balas awam selama enam bulan.

BNM memberitahu, rangka kerja pelesenan bank digital itu bertujuan membolehkan penggunaan teknologi inovatif bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan individu dan perniagaan serta menyokong pertumbuhan lestari.

Katanya, hal itu termasuk memperluas akses secara bermakna dan menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai secara bertanggungjawab kepada segmen yang tercicir atau kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan.

“Rangka kerja ini mengambil pendekatan seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital yang mempunyai nilai tawaran kukuh dan pada masa sama memelihara integriti serta kestabilan sistem kewangan dan kepentingan pendeposit,” katanya. – UTUSAN

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid