2 Januari : Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berasa kesal berkenaan kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman yang masih lagi berkeras menolak penyatuan dengan Bersatu pada pilihanraya yang akan datang.
“Kita kesal kerana apa yang dilaungkan mereka dulu ‘asalkan bukan DAP’ kini telah berubah seakan-akan menjadi ‘asalkan bukan Bersatu’ pula. Adakah ini gambaran keseluruhan UMNO yang menolak kepada penyatuan Melayu dan umat Islam di negara kita ? Saya doakan tidak”, ujarnya.
Tajuddin berkata, Umno akan bekerjasama dengan Pas sahaja, tetapi bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Sebelum itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS konsisten mahu bekerjasama dengan Bersatu pada pilihanraya yang akan datang.
“Pas sangat konsisten dengan penyatuan ummah. Mereka tetap mahu bersama Perikatan Nasional, pada masa yang sama kita nampak Pas masih menyeru UMNO untuk bersama kita kerana mereka juga belum membatalkan lagi ikatan tidak rasmi bersama UMNO melalui Muafakat Nasional”, tambah Razrul.
Untuk rekod, Parti Perikatan Nasional telah didaftarkan pada 7 Ogos 2020. Ia didaftarkan di bawah Kategori Politik, selaras peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). Ia terdiri daripada empat buah parti komponen iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan dua parti politik tempatan di Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Tajudin pula mendakwa lebih daripada 140, atau dua pertiga, ketua bahagian Umno di seluruh negara juga menyatakan pendirian yang sama, iaitu menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Rata-rata rakyat yang kita jumpa, mereka sudah penat dengan politik berebut kuasa, siapa dominan, siapa yang patut jadi menteri dan sebagainya. Mereka suka kerajaan yang bekerja seperti sekarang. Sepatutnya bagi Dato’ Sri Tajuddin, jawatan beliau kini sebagai Pengerusi Prasarana,banyak yang boleh bantu rakyat dari segi pengangkutan awam dan infrastruktur bagi mengurangkan beban semasa wabak Covid19 dan juga musim banjir ini. Tetapi beliau memilih untuk terus menyeru menolak penyatuan kepada kerajaan Perikatan Nasional. Kerajaan inilah yang memberi jawatan dan tempat kepada beliau. Adakah itu sikap yang baik yang ingin kita tonjolkan pada masyarakat terutamanya anak-anak muda ?” soal Razrul.
Razrul yang mewakili generasi muda sangat berharap supaya sesetengah pemimpin UMNO supaya tidak menghalang kepada penyatuan parti-parti Melayu demi masa depan dan kestabilan negara.