TERKINI
Politik

Tolak BERSATU mungkin salah satu agenda

December 30, 2020 7:08 pm – Zulkiflee Azmee

IPOH: Menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menjadi usul hangat yang dibahaskan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di negeri ini, bermula Jumaat ini.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, perkara berkenaan tidak mustahil menjadi fokus utama perbahasan memandangkan ia berkait rapat dengan isu semasa politik di peringkat Pusat dan negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, perbahasan usul berkenaan tertakluk kepada bahagian masing-masing.

“Ada kemungkinan (kerjasama UMNO dan Bersatu) dibincangkan di peringkat akar umbi membabitkan perwakilan bahagian, wanita, pemuda dan puteri.

“Mesyuarat kali ini penting sebagai langkah memperkasa dan mengatur strategi yang lebih baik dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Menurut Mohd. Zolkafly, mesyuarat perwakilan kali ini tidak hanya untuk memenuhi kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)  tetapi lebih penting kesiapsiagaan kepemimpinan dari pelbagai peringkat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, sehubungan itu apa juga perkara berkaitan parti akan menjadi fokus perwakilan untuk dibahas dan dibincangkan.

Katanya, mesyuarat perwakilan di semua 24 bahagian Perak kali ini tidak membabitkan kehadiran wakil Pas sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kehadiran orang ramai di dalam dewan.

“Kali ini kehadiran terhad hanya untuk UMNO, kita ambil contoh di Bahagian Sungai Siput yang mempunyai lebih 400 perwakilan, tetapi oleh kerana ada SOP perlu dipatuhi dari segi penjarakan sosial dan sebagainya, kapasiti di dewan mungkin boleh memuatkan 250 orang sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid