TERKINI
Dalam Negara

Kedah sokong buka sempadan

December 28, 2020 6:05 pm – Zulkiflee Azmee

SIK: Kerajaan negeri mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan pembukaan sempadan melibatkan negara-negara zon hijau Covid-19, bagi merancakkan sektor pelancongan di negara ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu selaras dengan pembentangan cadangan dibuatnya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut melibatkan syarikat penerbangan gergasi dunia, Qatar Airways berhubung kemasukan pelancong ke Langkawi baru-baru ini.

Katanya, cadangan tersebut telah diterima baik Perdana Menteri dan mengarahkan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengkajinya.

“Di pihak kerajaan negeri sendiri, kami bersedia memandangkan para pelancong tersebut akan melalui saringan ketat selain dipastikan tidak bercampur dengan penduduk mahu pun pelancong tempatan sepanjang berada di Langkawi.

“Mereka (pelancong) hanya akan berada di Langkawi saja tanpa menyeberang ke tanah besar dan kita yakin langkah ini akan banyak membantu memulihkan industri pelancongan di Langkawi jika mendapat lampu hijau dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Kerajaan Persekutuan sedang mempertimbangkan untuk membuka pintu sempadan negara selepas menerima banyak permintaan daripada para pemain industri tempatan berhubung perkara tersebut.

Menurut Nancy, kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan negara-negara zon hijau antaranya Brunei, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Singapura serta New Zealand bagi membolehkan pelancong dari negara berkenaan hadir ke negara ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pembukaan pintu sempadan itu bagaimanapun hanya melibatkan Langkawi dan negara-negara zon hijau saja tanpa membabitkan pembukaan sempadan Thailand.

“Untuk negara-negara lain termasuk Thailand, kita masih belum bersedia untuk benarkan pembukaan pintu sempadan kerana kes di sana juga dikatakan meningkat.

“Difahamkan peningkatan kes itu dibawa oleh pekerja asing dari Myanmar yang bekerja di Thailand. Kita tak mahu ambil risiko itu dan disebabkan itu, kita juga masih tak benarkan bot dari Satun ke Langkawi kembali beroperasi,” ujarnya. – UTUSAN

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid