spot_img
spot_img

Safawi tak akan patah semangat – Cheng Hoe

spot_img

Kuala Lumpur: Kepulangan lebih awal bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid yang dipinjamkan ke kelab profesional Portugal, Portimonense SC perlu dilihat daripada sudut positif, kata pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe.

Mengambil maklum mengenai kecaman dilontarkan segelintir peminat, Cheng Hoe secara peribadi mengakui perkembangan itu mempunyai lebih banyak nilai positif daripada negatif terutama daripada sudut pembangunan prestasi pemain sayap berusia 23 tahun itu.

Meskipun hanya tiga bulan di bumi Portugal, Cheng Hoe optimis Muhammad Safawi pasti tampil lebih yakin dalam corak permainannya selepas menimba pengalaman berharga berlatih bersama pasukan yang bersaing pada liga antara terbaik di Eropah itu.

- Advertisement -

“Walaupun tiga bulan, dia (Safawi) dapat pengalaman berlatih dan bermain bersama pemain terbaik kelab itu. Pengalaman itu boleh menjadi panduan kepada dia untuk bermain lebih baik selain ia dapat dikongsikan bersama rakan seperjuangan di kelab mahupun pasukan negara.

“Sedikit sebanyak tahap keyakinannya juga pasti meningkat. Kita (barisan jurulatih) memang tunggu dan nak lihat apa dipelajarinya di sana yang mungkin boleh beri impak kepada skuad kebangsaan, jadi sebagai jurulatih saya lebih pandang yang positif,” katanya.

Minggu lepas, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Muhammad Safawi yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 dan 2019 sah akan kembali menyertai skuad Harimau Selatan bagi mengharungi musim 2021.

Sejak melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke Portimonese SC pada Oktober lepas, Muhammad Safawi masih belum membuat penampilan pertamanya dalam kancah Liga Primeira, sebaliknya hanya kerap memanaskan bangku simpanan skuad kendalian Paulo Sergio itu.

- Advertisement -

Beliau hanya beraksi bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Portimonense SC sekali ketika pasukan itu tewas 1-3 kepada Sporting CP pada saingan liga peringkat umur, Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata situasi itu tidak akan mematahkan semangat pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu yang sememangnya terkenal dengan sifat tidak mudah berputus asa dan memiliki ketahanan mental tinggi.

“Saya percaya beliau tidak akan patah semangat kerana kita tahu mentaliti beliau memang kuat, ia dibuktikan ketika latihan dan perlawanan yang memang diakui beliau mempunyai mentaliti kental. Kegagalan kali ini bukan kegagalan seterusnya, saya harap beliau lebih bermotivasi selepas ini,” jelasnya.

Safawi meledak 47 gol dalam 101 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dalam kesemua pertandingan tempatan dan antarabangsa.

Beliau menjadi pemain Malaysia kedua berhijrah ke liga utama Eropah selepas pemain muda berbakat negara Luqman Hakim Shamsuddin daripada pasukan Selangor 2 menyertai kelab liga Belgium KV Kortrijk.

-BERNAMA Arena Metro

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img