spot_img
spot_img

MOSTI lepasi sasaran pengkomersialan 360 produk

spot_img

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya mengkomersialkan sejumlah 386 produk dan teknologi hasil kajian dan penyelidikan (R&D) yang dibiayai kerajaan setakat tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaludin, berkata jumlah itu menyumbang kepada pendapatan sebanyak RM402 juta dan melepasi sasaran yang ditetapkan kerajaan pada 2016.

“Semasa pembentangan Belanjawan 2016, kerajaan menetapkan sasaran untuk mengkomersialkan 360 produk serta teknologi hasil R&D yang dibiayai kerajaan menjelang 2020.

- Advertisement -

“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa MOSTI bukan sahaja berjaya melepasi sasaran ini, malah sehingga kini sebanyak 386 produk, teknologi dan perkhidmatan berjaya dikomersialkan,” katanya ketika melancarkan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2020, yang dibuat secara maya, pagi ini.

Katanya, sewajarnya kejayaan dan pengiktirafan yang diberi menerusi Anugerah MCY 2020 menjadi perangsang utama untuk mencipta lebih banyak kejayaan di masa hadapan.

Tegasnya, pelaksanaan inisiatif MCY membantu meningkatkan ketampakan (visibility) produk, teknologi dan perkhidmatan R&D tempatan bagi memasuki pasaran global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran yang kompetitif.

- Advertisement -

Mengambil contoh pemenang anugerah tahun lalu termasuk dalam bidang pertanian seperti pemenang utama Anugerah Pencapaian Pengkomersialan iaitu produk Plug and Play Grow Kit dan inovasi untuk penyelesaian isu sosial seperti produk Efinity EZ Water Filter pemenang utama Kategori Anugerah Usahawan Sosial tahun lalu, beliau berkata, ia berjaya memberikan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi dalam komuniti.

Tambahnya, sebanyak 122 produk, teknologi dan perkhidmatan daripada 56 agensi telah dinilai dalam dua siri Bengkel Due Diligence MCY, bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Khas MCY tahun 2020.

Khairy berkata, daripada itu sebanyak 43 produk, teknologi dan perkhidmatan tersenarai sebagai KPI Khas MCY 2020.

Katanya, inovasi yang dihasilkan bukan saja memberi sumbangan kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia turut mendatangkan impak sosial yang lebih tinggi dalam menawarkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Bagi tahun ini, agihan pemberian hadiah kembali kepada 100 peratus secara tunai, berbanding 50 peratus tunai dan 50 peratus kemudahan bukan tunai yang diamalkan pada 2018 dan 2019.

“Ini diharap dapat memberikan suntikan motivasi kepada penyelidik serta usahawan yang berjaya meningkatkan daya saing hasil R&D di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Saya percaya bahawa hasil pencapaian serta impak daripada pelaksanaan MCY dalam tempoh lima tahun lalu dan akan datang bakal memberi kesan positif terhadap kesan penggandaan ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun Khairy berkata, ketika Malaysia berada pada tangga kedua paling berinovatif selepas China, daripada 37 buah negara berpendapatan sederhana tinggi; ke-lapan daripada 17 negara di Asia Tenggara, Asia Timur dan Oceania; dan ke-33 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2020, selain kualiti inovasi, output inovasi Malaysia setanding dengan negara ekonomi berpendapatan tinggi, negara ini masih menunjukkan tahap kecekapan rendah kerana menghasilkan output inovasi yang kurang berbanding dengan tahap pelaburan inovasi atau input.

Katanya, keadaan ini berbeza dengan negara ASEAN lain seperti Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam yang menunjukkan tahap kecekapan tinggi kerana mereka menghasilkan banyak output inovasi berbanding input.

Sehubungan itu, kerajaan amat memberi penekanan kepada ‘return on investment’ (ROI) terhadap perbelanjaan dalam R&D selain berhasrat supaya lebih banyak R&D berasaskan permintaan dihasilkan dan diguna pakai oleh industri, seterusnya melonjakkan Malaysia ke kedudukan 20 teratas dalam GII menjelang 2030.

“Pada masa yang sama, Perbelanjaan Kasar (Gross Expenditure) terhadap R&D akan cuba ditingkatkan daripada 1.04 peratus kepada 3.5 peratus dan Perbelanjaan Perniagaan (Business Expenditure) terhadap R&D ditingkatkan daripada 43.9 peratus kepada 70 peratus menjelang 2030 dan Penyelidikan Pembangunan Eksperimen ditingkatkan daripada 24.5 peratus kepada 50 peratus menjelang 2025,” katanya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img