TERKINI
BERITA Buletin Dalam Negara Sukan

Skuad Projek FAM-MSN beraksi di Liga Perdana

December 11, 2020 11:48 am – denver

Petaling Jaya: Bagi memastikan bakat pemain muda terus digilap, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menjalin usaha sama bagi membentuk pasukan yang bersifat pembangunan bergelar Skuad Projek FAM-MSN yang akan bersaing dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Skuad yang terdiri daripada pemain berusia bawah 20 tahun itu adalah terdiri daripada produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, keputusan itu dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan sumbang saran di antara pihak FAM dan MSN sejak beberapa bulan lalu dalam memastikan kelompok terpilih lepasan NFDP dan AMD tidak terlepas aksi kompetitif pada usia 18-20 tahun.

Jelasnya, ia juga sebagai mencipta laluan kerjaya buat kelompok pemain berkenaan selepas ini.

“Player’s Pathway atau laluan kerjaya pemain penting dalam ekosistem pembangunan bola sepak negara.

“Pemain yang berpotensi sudah tentu dikenal pasti lebih awal oleh pasukan-pasukan dalam saingan liga tempatan, tetapi bagi kelompok yang lambat matang, mereka akan mempunyai peluang kedua memastikan mereka terpilih menyertai skuad projek ini.

 

REEZAL (tengah) melancarkan logo skuad Projek FAM-MSN. FOTO Bernama
REEZAL (tengah) melancarkan logo skuad Projek FAM-MSN. FOTO Bernama

 

“Secara tidak langsung, program ini menjadi platform kesinambungan kepada pembangunan pemain memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja kebangsaan,” katanya ketika pengumuman penubuhan skuad itu di Arena Futsal FAM di Kelana Jaya, semalam.

Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari ini.

Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat rasmi di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara, pendedahan antarabangsa serta peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.

Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah, dilantik melatih pasukan yang menjadi pasukan ke-11 beraksi dalam Liga Perdana sebagai antara langkah mendedahkan mereka kepada saingan kompetitif sepanjang musim.

Bagi FAM pula, jalinan kerjasama bersama MSN ini menghidupkan semula persekitaran yang membawa kepada penghasilan generasi pemain yang menjadi teras kepada skuad negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta Piala AFF 2010 serta mengisi kelompongan untuk lepasan NFDP dalam struktur sedia ada.

“Selain melepaskan produk terbaik NFDP ke dalam pasaran liga sedia ada, FAM mengambil kira hakikat ada pemain berbakat yang mahu mengimbangi kerjaya dengan tuntutan akademik, maka tawaran biasiswa yang disediakan dianggap sebagai nilai tambah untuk skuad ini,” kata Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin.

-Firdaus Hashim Arena Metro

 

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid