TERKINI
BERITA Politik

Sekretariat Muafakat Nasional puji penyelesaian kemelut di Perak

December 10, 2020 10:42 am – zul
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Sekretariat Muafakat Nasional malam tadi memuji kepimpinan parti Bersatu, UMNO dan Pas di Perak yang berjaya menyelesaikan kemelut politik di negeri itu melalui rundingan.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, mesyuarat malam tadi menyentuh mengenai penyelesaian masalah di Perak serta beberapa perkara rutin yang lain.
“Mesyuarat ambil maklum mengenai persetujuan yang dicapai ketiga-tiga parti di Perak,” katanya.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata kemelut yang berlaku dalam kerajaan negeri Perak perlu diambil sebagai pengajaran untuk mendewasakan hubungan politik UMNO, Bersatu dan Pas.
Beliau berkata isu politik di Perak membuktikan rundingan merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah.
“Ada banyak pengajaran daripada peristiwa di Perak. Kalau berunding, masalah selesai,” katanya.
Kemelut politik di Perak sejak minggu lepas menemui jalan penyelesaian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
Saarani, 59, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak akan menjadi Menteri Besar Perak ke-14, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) pada 5 Dis lepas.
Ahmad Faizal, ADUN Chenderiang, meletak jawatan selepas gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ pada Jumaat lepas.
Ahmad Maslan berkata pemilihan Saarani adalah bersesuaian dengan kedudukan Barisan Nasional yang mempunyai kerusi paling banyak dalam DUN Perak.
Sumber-AWANI

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid