spot_img
spot_img

Rasuah: Ku Nan lepas tanpa dibebaskan

spot_img

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Ujarnya, terdapat asas dalam permohonan pihak pendakwaan untuk membolehkan mahkamah membenarkan permintaan tersebut.

- Advertisement -

“Berdasarkan nas undang-undang, persoalan utama ialah sama ada terdapat alasan yang kukuh untuk membebaskan tertuduh. Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, pada pandangan saya terdapat keperluan untuk pihak pendakwaan menyiasat (aduan) dan itu merupakan asas kepada permohonan. Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan,” katanya.

Terdahulu, Julia memaklumkan pihaknya memohon agar Ahli Parlimen Putrajaya itu dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya ekoran terdapat perkembangan terbaharu membabitkan salah seorang saksi dalam perbicaraan itu.

Difahamkan, saksi tersebut masih  belum dipanggil memberi keterangan.

- Advertisement -

Pada ketika ini terdapat dua orang saksi telah memberi keterangan dan hari ini mahkamah sepatutnya menyambung perbicaraan dengan soal balas terhadap saksi pendakwaan kedua, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah.

“Terdapat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung salah seorang saksi pendakwaan yang mungkin memberikan implikasi terhadap saksi berkenaan. Jadi, kami memerlukan masa untuk menyiasat aduan tersebut tetapi dalam masa sama, kami tidak mahu membazirkan masa mahkamah,”katanya.

Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memohon agar anak guamnya dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya.

“Adalah tidak adil untuk membiarkan pertuduhan ini terus tergantung terhadap tertuduh dalam satu tempoh yang tiada penghujung. Ia akan menjadi mimpi ngeri terhadapnya. Kes ini perlu ditutup, perlu ada pengakhiran,”hujahnya.

Tengku Adnan, 70, didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada Eng Boon yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank beliau sebagai dorongan untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn. Bhd. untuk menambah nisbah keluasan tanah untuk syarikat itu berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima RM1 juta untuk dirinya daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn. Bhd. yang didepositkan ke dalam akaun CIMB beliau, sedangkan beliau tahu bahawa Eng Boon, sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd, mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Pada 21 Disember ini, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohamed Zaini Mazlan akan membuat keputusan di akhir kes pembelaan terhadap Tengku Adnan membabitkan penerimaan rasuah sebanyak RM2 juta.

Bagi pertuduhan ini, Tengku Adnan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan (pada ketika kejadian) telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbicaraan kes itu bermula pada 2 Julai 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi dan pembelaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd. Amin Nordin Abd. Aziz. – UTUSAN

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img