TERKINI
BERITA Politik

Pas tidak sertai pembentukan kerajaan baharu Perak

December 4, 2020 5:54 pm – zul
KUALA LUMPUR : Pas menetapkan untuk tidak menyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan juga mengesahkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas memberikan sokongan kepada Menteri Besar dalam usul dibuat di DUN Perak pada Jumaat pagi.
“Pas mengambil maklum keputusan Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak yang telah berlangsung di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini di mana tiga ADUN Pas menyokongnya selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik Pas Pusat.
“Maka selaras dengan keputusan tersebut, Pas Pusat telah membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu.
“Meskipun demikian, Pas akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat Negeri mahupun nasional,” katanya.
Tiga ADUN Pas di Perak ialah ADUN Gunung Semanggol yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul undi percaya yang berlangsung pada Jumaat.
Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.
Terdahulu, menerusi surat bertarikh 18 November, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim berkata Ahmad Faizal yang yang juga ADUN Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai keyakinan majoriti Ahli Yang Berhormat DUN.
Untuk rekod, bagi sesuatu usul untuk mendapat majoriti mudah, ia memerlukan sekurang-kurangnya sokongan daripada 30 ADUN.
Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5, Gerakan 1 dan Bebas 1.
Sumber-AWANI

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid