TERKINI
kesihatan

Malaysia pantau vaksin digunakan UK

December 3, 2020 12:56 am – Kamal Hafiz

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan memantau vaksin Covid-19 dibangunkan Pfizer-BioNTech yang akan digunakan United Kingdom (UK), minggu depan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan melihat keberkesanan dan kesan sampingan selepas vaksin yang tidak didaftarkan itu akan digunakan di UK secara darurat iaitu digunakan sebagai kecemasan.

“UK menjadi negara pertama menggunakan kaedah terbabit maka kita (Malaysia) akan memerhati dari sudut keberkesanan dan kesan sampingan menerusi penggunaan vaksin terhadap penduduk di UK.

“Mungkin negara lain juga menggunakan klausa tersebut iaitu vaksin dengan kaedah darurat tetapi di Malaysia, tidak ada pengecualian vaksin secara darurat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media antarabangsa berhubung UK akan menggunakan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech yang sudah diluluskan untuk kegunaan umum mulai minggu depan.

Noor Hisham berkata, undang-undang Malaysia menetapkan ia perlu melalui proses sebagaimana akta ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin selain pendaftaran melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Katanya, banyak perkara lain perlu dilihat ialah kualiti sesuatu vaksin yang dihasilkan.

“Sekarang ini, vaksin terbabit berada di peringkat awal dan masing-masing hanya perlu perhatikan termasuk kesan sampingan itu berlaku atau sebaliknya.

“Jika tiga bulan pertama penggunaan vaksin di UK memberangsangkan dan kurang kesan sampingan, ia akan menggalakkan keyakinan kita terhadap vaksin itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid