TERKINI
BERITA Dalam Negara

Bersatu, PAS, UMNO perlu kekal kerjasama

November 28, 2020 3:41 pm – Aiman Shahar

KUALA LUMPUR: Parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas, dan Umno tidak boleh ‘bergerak secara solo’ untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata, jika mana-mana parti berkenaan memilih untuk tidak menjalinkan kerjasama, ia seolah-olah memberikan ‘hadiah’ kemenangan kepada parti pembangkang.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak menegaskan, penting untuk parti-parti tersebut terus mengekalkan kerjasama yang sudah terjalin, ketika ini.

“Jika mereka atau kami bertindak untuk pergi ke pilihan raya secara bersendirian, maka saya berpandangan ini sama seperti menghadiahkan kepimpinan kerajaan yang kita sedang pimpin sekarang ini kepada pihak pembangkang.

“Jadi, semua pemimpin faham bahawa keperluan untuk bekerjasama itu jauh lebih penting, lebih besar nilai dan maksudnya daripada terlalu mengikut kehendak iaitu melebihkan parti kita daripada parti-parti lain,” katanya dalam temu bual dalam Buletin AWANI Khas, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, Bersatu menyedari bahawa setiap parti mungkin mahukan pembahagian kerusi yang banyak di sesuatu kawasan apabila pilihan raya.

Namun, jelas beliau perkara itu perlu dikorbankan, kerana keutamaan adalah untuk memastikan sokongan dan kepimpinan kerajaan ketika ini terus diberikan mandat untuk mentadbir.

Dalam pada itu, menggunakan analogi perkahwinan, Ahmad Faizal berkata perkahwinan yang berlaku dalam PN sudah pasti ada kelebihan dan kekurangannya.

Meskipun kadangkala wujudnya kesukaran namun mereka sahut cabaran itu dan menyelesaikannya sebaik mungkin.

“Saya kira bukan mudah untuk mentadbir sesebuah kerajaan, saya sebagai Menteri Besar ada enam exco daripada Umno, dua daripada Pas dan dua lagi Bersatu.

“Jadi, kami bekerja sebagai satu pasukan tetapi dalam masa sama tentunya ada tuntutan dari sesebuah parti tetapi akhirnya saya kira tuntutan ini kalau pun tidak bekerja dengan Umno dan Pas, ia akan datang daripada orang ramai juga,” katanya lagi.

 

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid