spot_img
spot_img

FAM kenal pasti kerosakan akibat Covid-19

spot_img

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang giat mengenal pasti kerosakan yang berlaku kepada industri bola sepak negara berikutan kesan daripada pandemik Covid-19 ketika ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan, dana berjumlah AS$1.5 juta (RM6.43 juta) yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Pelan Bantuan Covid-19 akan digunakan untuk ‘membaik pulih’ beberapa masalah berkaitan bola sepak.

Katanya, FAM komited untuk memulihkan semula arena bola sepak tempatan dengan menggunakan dana berkenaan.

- Advertisement -

“Kita memang ambil berat dan yang kita dapat ini pun (dana FIFA) belum lagi, baru sebahagian sahaja.

“Benda itu memang kita akan buat apa-apa kebaikan demi bola sepak Malaysia. Pihak kita sekarang tengah kenal pasti apa-apa masalah yang boleh dibaik pulih untuk bola sepak,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pada Julai lalu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengesahkan setiap ahli gabungan FIFA termasuk FAM akan menerima RM6.43 juta menerusi Pelan Bantuan Covid-19.

- Advertisement -

Menerusi pelan itu, FIFA akan mengagihkan dana berkenaan dengan menggunakan tiga fasa iaitu sebanyak AS$152 juta (RM651 juta) pada fasa pertama, diikuti AS$465 juta (RM1.9 bilion) pada fasa kedua dan seterusnya AS$885 juta (RM3.8 bilion) bagi fasa ketiga.

FIFA dalam kenyataannya berkata, geran terbabit boleh digunakan ahli gabungan untuk membantu komuniti bola sepak masing-masing termasuklah pasukan, pemain, liga dan pihak yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, ditanya adakah dana berkenaan akan digunakan untuk menyediakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia seperti mana dilakukan Thailand, Hamidin menyatakan ia belum diputuskan namun fokus FAM lebih kepada untuk ‘membaik pulih’ industri bola sepak domestik.

Menurutnya, dana terbabit bagaimanapun bukanlah untuk diagihkan sewenang-wenangnya kepada ahli gabungan FAM sebaliknya ia atas budi bicara badan induk bola sepak tempatan itu.

“Ini (dana FIFA) hak FAM untuk salurkan atau sebaliknya kepada FA (persatuan negeri). Apapun kita kena lihat juga keperluan,” katanya.

-Firdaus Hashim Arena Metro

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img