JOHOR BAHRU: Semua ahli Parlimen perlu diberi peluang secara peribadi untuk membuat pilihan menyokong atau berkecuali di dalam membuat pendirian terhadap pengundian Belanjawan 2021 yang dijangka berlangsung minggu depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk atas dasar sokongan ahli Parlimen dan bukannya kerjasama partisan yang formal, teratur dan kemas sekali gus tidak memerlukan desakan mengundi secara ‘en bloc’.
“Atas dasar itu, saya percaya bahawa setiap ahli Parlimen perlu diberi kebebasan dan ruang untuk membuat pilihan dan mengundi secara peribadi berdasar ‘conscience’ dalam menyokong, berkecuali atau menolak Belanjawan 2021.
“Malaysia harus mula bergerak ke arah penyuburan amalan politik bipartisan yang berfokus kepada pembentukan konsensus nasional merentas ideologi dan fahaman politik demi penyelesaian kemaslahatan berkepentingan nasional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Polemik berkenaan sokongan pengundian usul Belanjawan 2021 menjadi tanda tanya apabila terdapat ‘tarik tali’ dalam kalangan ahli Parlimen dari pihak kerajaan atau pembangkang sama ada ingin menyokong atau menolaknya.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, wakil rakyat wajar mengikut pendirian yang diambil parti termasuk berkaitan sokongan terhadap usul tersebut.
Sesi pengundian Belanjawan 2021 dijangka dijalankan pada 25 November ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan, Parlimenadalah benteng demokrasi yang paling penting kerana setiap usul diputuskan oleh ahli Dewan Rakyat mestilah mengutamakan nilai dan kepentingan pengundi serta rakyat.
Jelasnya, jika seseorang ahli Parlimen itu yakin bahawa peruntukan dan inisiatif di dalam Belanjawan 2021 memerlukan pembaikan atau tidak menepati kepentingan golongan sasaran, maka mereka wajar untuk menyatakan pendirian tersebut sekalipun berbeza dengan parti atau en bloc.
“Berbeza pendirian bukan pengkhianatan tetapi menurut tanpa akal adalah sebesar-besar khianat. Rakyat tidak memilih seorang ahli Parlimen untuk menjadi wakil yang terpisah dari denyut nadi pemilih mereka.
“Setiap ahli Parlimen mesti mengambil keputusan yang dirasakan terbaik demi kemaslahatan negara, bukan kepentingan parti semata-mata. Apalagi dalam keadaan di mana UMNO bukan sebahagian daripada PN,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sokongan secara en bloc ke atas sesuatu usul Parlimen pula tidak semestinya mencerminkan kekuatan parti namun ia akan dianggap mereka tidak mempunyai kepelbagaian idea, kepelbagaian pendirian dan kebebasan untuk menyatakan pendirian yang demokratik.
Katanya lagi, Belanjawan 2021 mempunyai banyak kebaikan tetapi ia juga memerlukan penyelarasan semula untuk menjadikannya lebih baik.
“Insya Allah jika ia dilakukan, ahli Parlimen akan menggunakan nurani baik mereka untuk mengundi dengan demokratik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE