spot_img
spot_img

Sarawak Memilih: Kesihatan rakyat lebih penting dari tarikh pilihan raya – Abang Johari

spot_img
KOTA SAMARAHAN: Aspek keselamatan dan kesihatan rakyat menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak sebelum menentukan tarikh sebenar Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurut Ketua Menteri Sarawak itu, tarikh berkenaan hanya boleh diputuskan berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri tersebut.
Perkara itu juga katanya, adalah berdasarkan kesediaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan selamat menjelang tarikh keramat itu nanti.
“Saya tidak tahu bila PRN. Ini kerana ia akan dilaksanakan berdasarkan perkembangan semasa COVID-19.
“Seperti yang kita tahu, daerah Kuching kini sedang berstatus Zon Merah,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bahagian Samarahan pada Selasa.
Mengambil pengajaran dari Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu ujarnya, banyak penambahbaikan perlu dilakukan. Selain aspek keselamatan, pematuhan SOP juga harus dipertingkatkan.
“Ia bergantung kepada pihak SPR dalam melaksanakan garis panduan yang ketat dalam mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Ujar beliau lagi, PRN ke-12 Sarawak tidak dapat dielakkan kerana tempoh matang bagi mandat negeri itu akan berakhir pada April 2021, selain tertakluk kepada Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri.
Walau demikian, beliau memberi jaminan, tarikh penting itu akan diputuskan apabila keadaan di negeri itu dilihat lebih sesuai dan selamat untuk semua pihak.
“Kerajaan akan terus memantau keadaan semasa untuk membuat satu keputusan yang terbaik demi rakyat. Tidak perlu tergesa-gesa ketika ini kerana kesihatan rakyat adalah lebih penting,” tegasnya.
Beliau menambah, rujukan serta nasihat daripada pakar akan diambil kira sebelum memutuskan tarikh sebenar hari pemilihan itu nanti.
“Sekiranya saya ingin memutuskan tarikh pilihan raya, saya harus merujuk kepada pakar terutamanya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada ianya selamat untuk diadakan ataupun tidak,” jelasnya lagi.
Sumber-AWANI

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img