TERKINI
BERITA PANAS Politik

Tiada darurat: Titah Agong perlu menjadi penegasan, pengajaran – Khaled Nordin

October 26, 2020 10:22 am – zul
KUALA LUMPUR: Keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan darurat dilaksanakan di negara ini disifatkan bijaksana.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan media, berkata ia sekali gus bermakna peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak digunakan tanpa pertimbangan mendalam.
“Seri Paduka Baginda Tuanku dan Raja-Raja Melayu telah mengambil kira kepentingan rakyat dengan sebenar-benarnya.
“Malah, keputusan Istana Negara bahawa tiada keperluan mengisytiharkan darurat secara tidak langsung memberi makna yang selayaknya kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan agar ia tidak digunakan sewenang-wenangnya,” jelasnya.
Keputusan itu jelas Mohamed Khaled, memaparkan keyakinan baginda terhadap keupayaan sistem kesihatan Malaysia dan kemampuan penjawat awam dalam mendepani pandemik COVID-19.
“Kebijaksanaan dan hikmah Seri Paduka Baginda Tuanku dalam perkara ini meyakinkan patik serta rakyat Malaysia bahawa institusi raja sentiasa mengutamakan denyut nadi rakyat, meraikan demokrasi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” jelas Mohamed Khaled lagi.
Justeru katanya, titah baginda itu perlu menjadi penegasan dan pengajaran yang mematangkan semua pihak.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.
Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah berasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.
Seri Paduka Baginda sebaliknya mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.
Sumber-AWANI

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid