KANGAR: Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan gencatan politik pada Rabu, dianggap sebagai usaha menjernihkan politik negara.
Pas berpendapat, ia merupakan petanda ke arah kebaikan, demi meletakkan hala tuju politik yang selari dengan perlembagaan negara.
Tanpa mengandaikan sebarang kemungkinan, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menganggap ‘gencatan’ itu adalah kejayaan yang dicapai ketiga-tiga parti; melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu yang selama ini berhasrat memperkuatkan perjuangan Islam dan bangsa Melayu, untuk kembali ke landasan asal serta melaksanakan tuntutan perlembagaan yang selama ini diterima semua pihak.
Di sebalik sokongan kepada ‘gencatan’ itu juga, Hashim amat berharap agar tiada masalah baharu timbul, yang dikhuatiri menyekat perkembangan baik, setakat ini.
“Untuk makluman, bagi pihak Pas kita ada prinsip yang kita tidak pernah lari dari prinsip itu iaitu kita perlu kepada perpaduan, jamaah- jamaah islam dan juga politik kita atau hala tuju tidak bercanggah dgn kebenaran yang diturun Allah,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Negeri di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas berkaitan kerjasama Pas dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN), Hashim berkata gabungan dua parti Melayu itu kini masih memperkemaskan apa yang longgar, demi perjuangan Islam serta mempertahankan kedaulatan Raja, bangsa dan tanah air.
Kata Hashim, MN jika turut dipersetujui oleh Bersatu, diyakini akan menjadi satu tenaga politik yang kuat.
Tambahnya sekiranya berjalan dengan baik, gabungan itu dengan mudah akan mendapat majoriti dua pertiga daripada kalangan MN dan Perikatan Nasional (PN).
Sumber-AWANI
What’s your Reaction?
+1
+1
+1
+1
+1
+1
+1