KUALA LUMPUR: Fokus ahli politik seharusnya menjaga kebajikan rakyat, bukannya berebut jawatan atau sengaja merosakkan kestabilan dan ekonomi negara, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata terdapat ahli politik tertentu yang sememangnya mahu merebut kuasa politik dan percaya tindakan itu adalah bertentangan dengan apa yang dikehendaki majoriti rakyat hari ini.
“Kita melihat dua ahli politik veteran yang telah sekian lama mengidamkan jawatan Perdana Menteri cuba mencipta krisis baharu tatkala Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bersungguh-sungguh menjaga kebajikan dan nasib rakyat.
“Ada juga oportunis yang mengambil peluang membawa undi tidak percaya kepada Perdana Menteri… sepatutnya kita memerangi COVID-19 dengan mewujudkan kesatuan politik rentas parti, bukan mencipta perpecahan untuk faedah peribadi,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Saiful berkata Perdana Menteri telah menunjukkan contoh terbaik dengan memberi fokus menjaga kebajikan rakyat serta memastikan ekonomi negara dapat dibina dengan penuh integriti dan komitmen.
“Bersatu menjunjung kasih atas titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang menasihati rakyat khususnya ahli-ahli politik agar bermuhasabah supaya negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu,” katanya.
Sumber-AWANI
What’s your Reaction?
+1
+1
+1
+1
+1
+1
+1