spot_img
spot_img

Vietnam tambah empat lagi acara

spot_img

Kuala Lumpur: Tuan rumah Sukan Sea 2021, Vietnam bersetuju untuk memasukkan empat lagi sukan – triatlon, boling, jiu jitsu dan esukan dalam program sukan serantau dwitahunan itu, menurut laporan media Vietnam.

Portal berita VnExpress International melaporkan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) meluluskan sukan berkenaan dalam mesyuarat secara dalam talian untuk temasya sukan di Hanoi itu, dijadualkan berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis tahun hadapan.

Portal itu turut melaporkan enam acara akan dipertandingkan di bawah esukan, antaranya Dota 2, Arena of Valor dan Pro Evolution Soccer yang merupakan tiga permainan kegemaran ramai.

- Advertisement -

Awal tahun ini, Vietnam telah menyenaraikan 36 sukan, jauh lebih rendah daripada 56 sukan dipertandingkan dalam Sukan Sea Filipina menyebabkan negara lain merayu supaya 22 sukan dimasukkan kembali.

Malaysia sendiri merayu supaya 11 sukan dimasukkan – hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, boling sepuluh pin, skuasy, boling padang, kriket, ragbi tujuh sebelah, papan selaju, bola lantai dan sambo (sukan tempur Soviet).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata, badan naungan itu belum lagi menerima sebarang maklumat terkini daripada rakan sejawat mengenai perkara berkenaan.

- Advertisement -

”Senarai rasmi sukan belum lagi diputuskan, keputusan rayuan dijangka hanya diketahui semasa mesyuarat SEAGF November ini. Setakat ini kami masih lagi cuba meyakinkan mereka untuk memasukkan beberapa lagi sukan, dengan sokongan dari negara lain,” katanya.

Abdul Azim berkata tuan rumah memberikan alasan kekurangan venue dan kemudahan punca tidak banyak sukan disenaraikan.

Vietnam hanya menyenaraikan 36 sukan iaitu olahraga, akuatik (renang dan terjun), memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kanu, berbasikal (lebuh raya dan basikal bukit), sukan tarian, lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, bola baling, bola tampar, judo, karate, mendayung, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, angkat berat dan gusti.

Turut tersenarai acara snuker dan biliard, catur/xiangqi (catur China), futsal, Muay Thai, pencak silat, petanque, sepak takraw, renang sirip, bina badan, wushu, kurash, kick boxing dan vovinam (seni pertahan diri Vietnam).

Vietnam menjadi tuan rumah Sukan Sea sebelum ini pada 2003 dan muncul juara keseluruhan dengan 158 pingat emas, 97 perak dan 91 gangsa sementara edisi 2019 di Filipina, Vietnam menduduki tempat kedua dengan pungutan pingat 98-85-105.

-Metro Arena

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img