spot_img
spot_img

PRU15: Ambil iktibar PRN Sabah

spot_img

KUALA LUMPUR – “Ambil iktibar atas apa yang berlaku daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16”.

Beberapa penganalisis politik yang dihubungi berkongsi pandangan yang sama apabila diajukan soalan, sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih mahu diadakan dalam tempoh terdekat.

Kata-kata mereka itu sudah tentunya menjurus kepada perkembangan mutakhir penularan kes positif koronavirus (Covid-19) di negara ini.

- Advertisement -

Semalam, Malaysia mencatat sebanyak 432 kes baharu Covid-19 (429 kes penularan tempatan dan 3 kes import), angka tertinggi sejak wabak koronavirus itu melanda negara ini. Jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September setakat ini sebanyak 235 kes.

Trend peningkatan tiga angka kes baharu ini sudah tentunya mencemaskan rakyat khususnya. Untuk rekod, kes baharu Covid-19 semakin ketara tinggi sejak beberapa hari lalu, iaitu seperti berikut:- 293 kes (4 Oktober), 317 kes (3 Oktober), 287 kes (2 Oktober), 260 kes (1 Oktober).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah pada sidang akhbar Jumaat berkata, trend peningkatan inilah yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khuatiri dan peringatkan semua pihak.

- Advertisement -

Beliau juga mengingatkan jumlah kes positif baharu tertinggi 287 yang dicatat pada 2 Oktober itu meletakkan Malaysia di peringkat awal gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia.

Angka tertinggi pernah dicatat sebelum ini adalah pada 4 Jun lepas iaitu sebanyak 277 kes baharu dan penularan dalam kalangan warganegara tempatan hanya empat, berbanding dengan kes-kes yang direkod akhir-akhir ini.

Utamakan kebajikan rakyat

Meskipun peningkatan kes yang berlaku ketika ini bukanlah semata-mata berpunca daripada mereka yang pulang dari PRN di Sabah, namun setiap anggota masyarakat terutama pemimpin politik diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan umum.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, golongan itu perlu bersikap rasional dan meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan berbanding agenda politik masing-masing.

“Mengadakan pilihan raya apatah lagi PRU15 dalam tempoh terdekat ini hanya akan mengundang pelbagai risiko walaupun garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kempen dan proses pengundian ditetapkan.

“Walaupun PRN Sabah bukanlah satu-satunya penyebab kepada berlakunya peningkatan kes Covid-19 yang kembali menjadi kerisauan rakyat, namun tidak boleh dinafikan terdapat penularan kes yang berlaku disebabkan mereka yang terlibat dengan PRN berkenaan,” katanya.

Beliau menambah, kos perbelanjaan untuk PRU15 juga antara yang perlu diambil kira lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berhadapan bebanan kewangan yang wujud disebabkan pandemik ini.

“Tekanan kewangan yang wujud akibat pandemik ini menuntut perbelanjaan yang lebih berhemah. Peruntukan perlu disalurkan antaranya menjaga kebajikan rakyat dan merancakkan kembali aktiviti ekonomi domestik negara,” katanya.

Negara ‘belum bersedia’

Mengulas perkara sama, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, kes-kes tinggi Covid-19 yang melanda negara ketika ini menunjukkan negara ‘belum bersedia’ untuk berhadapan PRU15.

Ini kerana, katanya, sebarang pilihan raya akan menyaksikan rakyat dan pemimpin ‘turun padang’, berhimpun dan berkempen untuk parti masing-masing di samping akan berlakunya pergerakan rentas negeri dan sempadan bagi tujuan pengundian.

“Penjarakan fizikal dan mengelakkan bersentuhan antara satu sama lain adalah merupakan perkara yang amat sukar untuk dilakukan terutama ketika menjalankan aktiviti kempen pilihan raya. Kegagalan melaksanakannya akan mendedahkan masyarakat kepada penularan pandemik Covid-19. Itu belum diambil kira SOP-SOP lain yang turut diabaikan.

“Setiap anggota masyarakat harus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada PRN Sabah baru-baru ini. Bukan sahaja mereka yang terlibat berkempen yang dijangkiti pandemik ini, bahkan ahli keluarga terdekat dan orang sekeliling turut menerima akibatnya terutama apabila terdapat golongan yang mementingkan diri dan tidak melaksanakan kuarantin kendiri.

“Untuk itu, PRU15 wajar ditangguhkan ke suatu tarikh yang ketika itu negara dan keselamatan rakyat dapat dipastikan dalam keadaan baik dan terkawal daripada krisis pandemik Covid-19,” tegasnya.

Sudut perlembagaan

Dalam pada itu, menyentuh dari aspek perlembagaan, Nik Ahmad Kamal berkata, selagi Parlimen tidak dibubarkan maka tidak timbul isu mengenai PRU15, walaupun ada pihak yang sengaja membangkitkan isu berkenaan.

Beliau menjelaskan, apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen (sekiranya beliau telah hilang majoriti di Dewan Rakyat), maka Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk membubarkan Parlimen atau tidak.

Jika Baginda membubarkan Parlimen, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh Parlimen dibubarkan, mengikut peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

“Sungguh pun begitu, bagi mengelakkan berlakunya PRU, maka krisis politik adalah perkara utama yang perlu dielakkan kerana ia boleh membawa kepada pembubaran Parlimen.

“Setiap ahli dan parti politik hendaklah mengambil kira kesan pembubaran Parlimen (sekiranya berlaku) ketika pandemik Covid-19 masih dalam keadaan tidak menentu dengan jumlah kes yang semakin meningkat.

“Jadilah pemimpin yang matang… sebarang agenda gerakan parti politik yang boleh menyebabkan Parlimen terbubar perlu difikirkan dengan lebih mendalam demi kepentingan rakyat dan negara terutama ketika negara sedang fokus berjuang menentang pandemik ini,” katanya. – Bernama

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img