KOTA KINABALU: Hari kedua selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai, Istana Negeri Sabah di sini terus menjadi tumpuan para pengamal media bagi mengikut rapat perkembangan Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu.Tinjauan Astro AWANI setakat pukul 9 pagi ini, tiada sebarang indikasi jelas akan kehadiran mana-mana pemimpin politik atau penyokong parti di perkarangan Istana Negeri.Keadaan cuaca yang sedikit redup ketika ini seperti memahami keluh kesah rakyat yang mahukan ‘polemik Ketua Menteri Sabah’ segera diselesaikan.Namun, sama ada Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu akan diadakan hari ini atau sebaliknya, masih belum dapat disahkan.
Semalam, beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rombongan termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Seri Hajiji Noor; Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Jahid Jahim tiba di Istana Negeri untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
PRN kali ini menyaksikan GRS memenangi 38 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.Daripada jumlah tersebut, Perikatan Nasional (PN) sebanyak 17 kerusi; Barisan Nasional (BN) (14); serta Parti Bersatu Sabah (PBS) (tujuh), sekali gus memberi majoriti mudah untuk gabungan tersebut membentuk kerajaan baharu.Sementara, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan (29 kerusi), PKR (2 kerusi) dan UPKO (1 kerusi) berjaya menawan 32 kerusi.
Sumber-AWANI