Washington: Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan pendakwaan terhadap tujuh individu termasuk dua rakyat Malaysia kerana melakukan operasi penggodaman antarabangsa.
Penggodam berkenaan didakwa mencuri identiti dan teknologi permainan video, melakukan serangan ransomware dan mengintip aktivis Hong Kong.
Tiga daripada suspek warga China itu berkhidmat dengan Chengdu 404, syarikat yang berpangkalan di Sichuan, China, yang menawarkan perkhidmatan keselamatan rangkaian untuk syarikat lain.
Mereka menggodam ratusan komputer syarikat dan organisasi di seluruh dunia untuk mengumpul identiti, menggodam sistem sebelum menuntut wang tebusan, dan menggunakan komputer dari jarak jauh bagi mengumpul wang kripto seperti Bitcoin.
Dua lagi warga China itu adalah bekas pekerja, Chengdu 404, didakwa kerana menggodam syarikat permainan video utama sebelum mencuri rahsia serta kredit sebelum menjualnya semula.
Ketujuh-tujuh mereka digelar sebagai pakar siber sebagai ‘APT41’ berdasarkan teknik dan peralatan yang digunakan mereka.
Dalam pada itu, pendakwaan DOJ terhadap individu berkenaan tidak menunjukkan kaitan jelas antara mereka dengan Kerajaan China.
Bagaimanapun, berdasarkan kertas pendakwaan, Jiang Lizhi, salah seorang daripada individu terbabit pernah memberitahu rakannya bahawa dia dilindungi oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri China, jika tidak melakukan penggodaman di China.
“Ada antara mereka yang percaya kaitan dengan Kerajaan China memberikan mereka lesen untuk menggodam dan mencuri di seluruh dunia,” kata pendakwa raya persekutuan, Michael Sherwin.
Pendakwaan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tugas penggodam itu bermotifkan politik.Â
Bagaimanapun, individu terbabit berjaya menggodam sistem komputer kerajaan di India dan Vietnam.
Namun pada 2018, Chengdu 404 menggerakkan usaha mengumpul maklumat individu yang terbabit dengan gerakan pro-demokrasi di Hong Kong, laporan media AS berhubung layanan terhadap etnik Uighur di wilayah Xinjiang dan sami Buddha di Tibet
Ketujuh-tujuh individu berkenaan didakwa melakukan penipuan dalam talian dan komputer, mencuri identiti dan pengubahan wang haram.
Lima warga China itu masih bebas tetapi dua rakyat Malaysia itu sudah ditahan di negaranya pada Isnin.
Ketika ini, AS berusaha untuk mengekstradisi mereka ke negara ini untuk proses pendakwaan.Â
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 9:15 AM
SUMBER: HMETRO.COM.MY