spot_img
spot_img

Pengarah drama Murali Abdullah sertai Pas

spot_img

KOTA BHARU – Pengarah telefilem Aishah 50 sen, Murali Abdullah menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa hari ini.

Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin 2010 itu hadir pada muktamar hari ini bagi menyerahkan sendiri borang keahlian tersebut walaupun berkerusi roda akibat lumpuh separuh tubuh di sebelah kanan.

Murali berkata, hasrat untuk menyertai Pas timbul selepas beliau bertemu Abdul Hadi di kediaman pemimpin nombor satu Pas itu pada Jun lalu.

- Advertisement -

“Sebelum ini saya dengar macam-macam cerita tentang Pas semasa saya menganggotai salah sebuah parti yang memusuhi Pas. Saya perlukan kepastian mengenai apa yang saya dengar. Bila saya dengar semuanya dan tahu perkara sebenar barulah saya terfikir saya perlu beralih arah.

“Saya mualaf dan kemasukan saya dalam Pas kali ini boleh diibaratkan saya masuk Islam kali kedua. Saya bersyukur sangat sebab kepimpinan Pas menerima saya dengan hati terbuka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan borang keahlian kepada Abdul Hadi sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

- Advertisement -

Pengarah Drama Papa Nak Menantu yang kini berusia 57 tahun itu mengambil keputusan untuk berhijrah ke Terengganu walaupun berasal dari Kedah.

Beliau yang kini menetap di Kampung Binjai Rendah, Marang, berkata, beliau akan memulakan kembali kerjayanya sebagai pengarah terutamanya melibatkan dokumentari Islam.

“Saya juga dalam perancangan untuk menerbitkan satu dokumentari melibatkan Tok Guru Abdul Hadi. Insya-ALLAH doakan saya.

“Terima kasih diucapkan kepada semua wakil Pas yang memberikan sokongan kepada saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai status bersama parti sebelum ini, Murali yang mengarah lebih 25 tahun itu berkata, beliau telah pun mengisytiharkan keluar parti pagi tadi yang disiarkan melalui Facebooknya sebelum menyerahkan borang keahlian kepada pihak Pas.

Sumber-SINAR

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img