TERKINI
BIZ KEWANGAN

Perintis TM sedia pembiayaan PKS RM10j

September 10, 2020 2:40 pm – Kamal Hafiz

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd. (TM) melakukan langkah proaktif dengan menyediakan pembiayaan sehingga RM10 juta menerusi program kewangan vendor, Perintis khas kepada vendor dan sub-kontraktor syarikat tersebut.

Perintis yang diwujudkan menerusi kerjasama TM de­ngan 14 buah institusi kewangan menyediakan sokongan kewangan fleksibel dan mudah kepada rakan vendor syarikat telekomunikasi itu untuk memper­tingkatkan keupayaan serta daya maju mereka.

TM kini memiliki kira-kira 9,000 vendor tempatan yang mana 80 peratus daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, di bawah program tersebut, rakan vendor TM bakal menerima kadar faedah pembiayaan yang kompetitif antara tiga hingga empat peratus setahun.

“Ia lebih rendah berbanding kadar di luar sana, iaitu kira-kira enam peratus.

“Kami mengikat kerjasama dengan 14 institusi kewangan bagi menyediakan lebih ba­nyak pilihan serta menawarkan produk pembiayaan yang komprehensif dan fleksibel,” kata­nya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Pusat Konvensyen TM di sini semalam selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara TM dengan 14 institusi kewangan terlibat.

Hadir sama Menteri Pemba­ngunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi TM, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.

Antara institusi kewangan terlibat ialah Bank Islam Malaysia Bhd., Maybank Islamic Bhd., CIMB Bank Bhd., Bank Muamalat Malaysia Bhd., RHB Islamic Bank Bhd., United Overseas Bank (Malaysia) Bhd., HSBC Bank Malaysia Bhd. dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd. – UTUSAN ONLINE

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid