spot_img
spot_img

Saya perlu berusaha lebih keras – Luqman Hakim

spot_img

KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak mengambil masa lama untuk membuka ‘akaun’ bersama kelab baharunya apabila menjaringkan gol pada penampilan pertama buat KV Kortrijk (KVK) kelmarin.

Dalam perlawanan persahabatan menentang BX Brussel itu, dia menjaringkan satu gol untuk membantu pasukannya menang 2-1.

Luqman yang sebelum ini menjaringkan gol buat kelab Belgium itu tatkala mewakili skuad bawah 21 tahun yang tewas 1-4 kepada KRC Gent bulan lalu, menepati jangkaan pemerhati sekali gus menjadi bualan hangat penyokong di negara.

- Advertisement -

Peminat menganggap pemain berusia 18 tahun itu memiliki potensi besar dan mampu membuat kejutan dalam pasukan bimbingan Yves Vanderhaeghe dalam aksi Jupiler League musim ini.

Bagaimanapun, anak jati kelahiran Kota Bharu itu melihat sudut berbeza selepas kejayaannya menjaringkan gol bersama skuad senior KVK.

Luqman mengakui masih perlu bekerja lebih keras dan memahami lebih cepat tentang corak permainan bola sepak di Belgium yang lebih kepada fizikal.

- Advertisement -

Lebih tepat, beliau sentiasa mengingati nasihat ibunya, Hasmah Che Soh, 56, agar sentiasa merendah diri dan fokus kepada keperluan yang memberikan input positif.

Namun dalam masa yang sama, Luqman berharap persembahan positif itu mahu dijelmakan sebagai isyarat kepada pengurusnya, Vanderhaeghe dalam misi merebut kesebelasan utama ketika menanti kunjungan R Excel Mouscron pada 14 September ini.

Sebagai rekod, KVK kini menduduki tempat keempat Jupiler League selepas meraih tujuh mata sepanjang empat perlawanan.

“Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol tetapi saya tak boleh cepat lupa diri kerana mak sudah pesan jangan cepat dabik dada dalam apa-apa perkara.

“Saya selalu menghubungi mak dan ayah saya di Malaysia. Nasihat mereka sentiasa tersemat dalam fikiran dan diri saya.

“Apa yang pasti, saya akan sentiasa cuba berikan yang terbaik dan lumrah sebagai pemain adalah mahu memberikan sesuatu positif kepada pasukan.

“Saya juga beruntung kerana memiliki rakan-rakan sepasukan yang begitu bagus dan fokus saya kini adalah merebut tempat dalam kesebelasan utama. Misi saya adalah mahu bersedia untuk perlawanan (menentang Excel Mouscron) akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Luqman mengakui kehidupan di bumi Eropah bertambah lebih baik selepas kehadirannya diterima oleh keluarga angkat, Arnout Vercruysse yang sering membantunya ketika di luar padang.

“Keluarga angkat selalu membantu saya dan saya juga tidak mahu terlepas pandang kepada Kedutaan Malaysia di Belgium yang turut membantu saya.

“Semalam wakil Kedutaan Malaysia di Belgium telah menziarahi saya dan ini membuatkan saya semakin bermotivasi tinggi selepas datang ke sini sebagai pemain bola sepak,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan terbaharu Luqman, pemilik KVK, Tan Sri Vincent Tan melahirkan rasa gembira.

“Saya amat puas hati dengan sikap positif dan jati diri Luqman. Pengurusan memberi laporan dari masa ke semasa dan mereka amat puas hati dengan sikap Luqman yang berusaha bersungguh-sungguh dan ingin sentiasa belajar benda baru.

“Inilah sikap yang saya mahu dan dalam masa singkat Luqman cepat sesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan mereka yang lain. Ini petanda positif dan saya mahu Luqman terus melangkah ke depan

“Sikap dia amat paling penting. Saya akan terus ikuti perkembangannya,” katanya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img