TERKINI
Dalam Negara KEWANGAN

Hanya separuh dari peruntukan pembangunan dibelanjakan

September 5, 2020 9:51 am – aiman adzhar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 48.48 peratus atau hanya RM33.4 bilion daripada peruntukan kerajaan bernilai RM69 bilion telah dibelanjakan bagi projek pembangunan sektor awam tahun ini setakat 16 Ogos lalu.

Penularan Covid-19 telah memberi kesan langsung kepada prestasi projek pembangunan dengan sektor pembinaan mengalami penguncupan terbesar dalam suku kedua tahun ini iaitu sebanyak 44.5 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perbelanjaan kurang daripada peruntukan itu menjadi isu besar memandangkan sektor pembinaan penting dalam usaha memacu semula pemulihan ekonomi negara.

Sehubungan itu, Mustapa berkata, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil tindakan proaktif berkaitan pelaksanaan projek dengan mempercepatkan pengeluaran tender.

Menurut Mustapa, sebanyak 251 tender bernilai RM7 bilion telah diiklankan sejak Jun lalu dengan proses pengeluaran tender dipercepat daripada tujuh hingga lapan bulan kepada hanya tiga hingga empat bulan.

“Kalau tender dikeluarkan hari ini, maka dalam Disember mungkin dapat keluarkan surat setuju terima (SST) dan dalam seminggu sudah boleh masuk tapak,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan Kompleks Majlis Sukan Negara di sini semalam.

Mengenai nilai pecahan projek pembinaan dari Januari hingga Julai lalu, Mustapa memberitahu, sebanyak RM32 bilion projek pembinaan telah dilaksanakan berbanding RM62 bilion untuk tempoh sama 2019.

“Ini jelas menunjukkan sektor pembinaan mengalami penguncupan 50 peratus berbanding tahun lalu dengan 33 peratus kerja pembinaan adalah projek awam manakala sebahagian besar atau 67 peratus melibatkan kerja-kerja swasta,” katanya.

Mengulas pakej rangsangan tambahan, Mustapa menjelaskan tiada sebarang perbincangan terperinci di peringkat Jemaah Menteri sama ada untuk meneruskan pakej rangsangan tambahan atau sebaliknya.

“Belum bincang secara terperinci. Sudah pasti akan dibentangkan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) apabila tiba masanya nanti.

“Ada dua platform perbincangan iaitu dalam Majlis Tindakan Ekonomi dan peringkat Kabinet. Ya, memang hasrat itu sudah dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi setakat ini belum ada lagi cadangan khusus dibentangkan,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid