LAHAD DATU: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd Harun akan memastikan bahawa calon daripada sayap Srikandi akan diturunkan pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah (PRN Sabah) pada 26 September nanti.”Berapakah jumlah calon daripada Srikandi, saya tidak dapat umumkan, tetapi saya ada berbincang dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi peluang kepada Srikandi dalam PRN Sabah.”Sudah pastinya kita akan menurunkan calon-calon Srikandi yang boleh menang dan sudah semestinya seorang yang berwibawa,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bahagian Bersatu Silam di sini pada Khamis.Rina selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut berkata, kementeriannya memandang serius dengan keperluan golongan kurang upaya dan berpenyakit kronik.
“Bantuan sebanyak RM300 sebulan sememangnya tidak mencukupi jika kita teliti betul-betul.”Golongan berpenyakit khususnya mempunyai keperluan yang lebih tinggi kerana perlu menyediakan keperluan khusus misalnya susu dan harga susu ini bukan murah.”Oleh itu, kementerian dalam rangka memohon kenaikan RM100 tetapi baru-baru ini Perdana Menteri yang juga Presiden parti mengusulkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000,” katanya.Selaku Ketua Srikandi Malaysia, Rina berasa bangga dengan persiapan jentera pilihan raya di bahagian Silam yang tanpa mengira waktu turun bersama-sama untuk memastikan kemenangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sumber-AWANI