TERKINI
Dalam Negara

Abah turun lawat PPR

August 25, 2020 5:46 pm –

25 Ogos Kuala Lumpur : Pagi ini sebelum ke Parlimen, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melawat ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur, bagi meninjau dan melihat sendiri kehidupan penduduk di situ.
Mereka merupakan kelompok yang terkesan dan terpaksa bergelut dengan kesusahan untuk meneruskan kehidupan di bandar.

Dalam lawatan tersebut beliau sempat menziarah penghuni tiga unit PPR di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu dua orang warga emas berusia 78 tahun, Puan Chan Kam dan Puan Danalachimi a/p Baboo Naidu serta pasangan suami isteri OKU, Encik Rosali bin Md Nasid dan Puan Artinie binti Besah.

Perdana Menteri kagum dengan ketabahan dan kegigihan Encik Rosali menyara isteri dan dua anaknya. Beliau yang cacat kedua-dua tangan dan menggunakan kaki kanan palsu, mencari pendapatan dengan membuka kedai jahit. Beliau adalah penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC).

Rosali dan isteri.

Pada pertemuan tersebut, Encik Rosali menyuarakan tentang kesukaran mendapatkan dana untuk modal berniaga. Beliau ada memohon beberapa inisiatif di bawah seliaan Kerajaan. Namun setakat ini beliau masih belum mendapat apa-apa bantuan bagi mengembangkan perniagaan beliau.

Perdana Menteri telah meminta pihak JKM agar dapat membantu beliau.

Perdana Menteri juga berkesempatan bertemu dengan Puan Chan Kam yang tinggal bersama anak lelaki OKU dan Puan Danalachimi yang tinggal bersendirian.
Beliau diberitau bahawa kedua-dua keluarga itu tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan. Mereka juga dibantu oleh sukarelawan yang datang seminggu sekali membelikan barang keperluan dan membersihkan rumah.

Puan Danalachimi

Perdana Menteri juga telah diberi maklumat akan terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama agensi-agensi kerajaan memberi pertolongan dan sokongan. Beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua yang melakukan khidmat kebajikan tersebut.

Kedua-dua warga emas itu bukan sahaja menerima Bantuan Prihatin, malah berada di bawah pemerhatian JKM yang menyalurkan Bantuan Orang Tua (BOT). Anak Puan Chan Kam juga menerima Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB).

Anak Puan Chan Kam yang OKU

Selepas selesai ke rumah, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkesempatan singgah bersarapan di gerai Che Nah di medan selera dan beramah mesra dengan penduduk PPR di situ. Banyak cerita dan luahan yang didengari daripada mereka.

Sarapan di gerai Che Nah

Menurut pegawai pejabat Perdana Menteri, lawatan ini banyak memberi maklumat kepada beliau mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar.
Kebanyakan mereka membuat bisnes kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori serta ramai juga yang membuat kerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka.

Perdana Menteri yakin bahawa setiap rakyat termasuk mereka yang tinggal di PPR itu menginginkan kehidupan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan yang terpaksa mereka lalui.

Tambah Perdana Menteri lagi, banyak inisiatif yang telah dilakukan oleh JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu golongan ini.

Perdana Menteri terus menyeru akan Kementerian dan agensi yang terbabit untuk meneruskan usaha dan inisiatif murni ini.

Setelah mendengar banyak luahan dari penduduk, beliau yakin banyak lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan serta agensi-agensi kerajaan dalam memastikan golongan ini terbela dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan atau sosial.

Meninjau penduduk PPR supaya tidak ketinggalan arus pembangunan.

Antaranya dengan menambah baik pusat-pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasakan pendidikan anak-anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan.

Semasa pramesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dihadiri tengah hari tadi, beliau telah bangkitkan permasalahan penduduk di PPR tersebut. Saya meminta agar satu langkah proaktif dan pelan tindakan secara holistik disegerakan bagi membantu penduduk PPR untuk memastikan golongan ini lebih berdaya maju.

Realitinya, pemimpin nombor satu negara itu bangga kerana ramai rakyat Malaysia yang rajin dan bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan yang lebih baik. Ada antara mereka melakukan dua tiga kerja sehari bagi menambah pendapatan keluarga. Ada yang memandu teksi dan Grab. Ada yang menghantar makanan. Ada juga membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja mereka.

PM mendapati penduduk melakukan beberapa pekerjaan demi sesuap nasi

Perdana Menteri berjanji akan berusaha untuk memastikan mereka ini tidak dipinggirkan malah perlu lagi dibantu. Kerajaan akan sentiasa meletakkan agenda membantu rakyat sebagai keutamaan dan akan terus mencari pelbagai kaedah bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan ini demi membina Malaysia yang lebih baik. – Berita Tular

comments



Comments

Artikel Secara Terus

Dapatkan berita dan informasi terkini secara terus ke email anda.
wa

[covid-data]
covid