SHAH ALAM – Seluruh akar umbi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya berbangga kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang menerajui Kerajaan Pusat ketika ini adalah daripada parti tersebut.
Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu sebagai tokoh dihormati dan disukai sememangnya tidak dapat disangkal.
“Kita seharusnya bersyukur kepada ALLAH kerana parti kita (Bersatu) turut menerajui Kerajaan Persekutuan. Bahkan Perdana Menteri adalah dari parti Bersatu yang telah menunjukkan kehebatan dan kewibawaan beliau dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19).
“Beliau (Muhyiddin) turut mendapat pujian di atas kecemerlangannya bukan sahaja di Malaysia malah dipuji dan menerima penghormatan daripada ramai pemimpin dunia,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di pejabatnya di Plaza Masalam di sini, hari ini.
Menurutnya, di atas kecemerlangan Muhyiddin itu, setiap ahli parti tidak seharusnya berpaling arah dengan bertindak keluar Bersatu.
“Mengapa kita terjun dari kapal yang dibawa oleh seorang nakhoda hebat. Seorang yang berkemampuan membawa bahtera parti menuju ke destinasi gemilang.
“Ahli seharusnya bersama membantu dan menyokong parti dan Perdana Menteri supaya beliau dapat meneruskan tugas dengan lebih gigih serta berjaya,” katanya lagi.