Saya menyambut baik tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengguna pakai kerangka #kitajagakita yang telah kami dukungi dalam ucapannya pada 10 April. Beliau turut menggunakan perkataan “normal baharu”, satu tanda bahawa Perdana Menteri turut memahami bahawa dunia kita tidak akan kembali seperti sedia kala, walaupun setelah berakhirnya perintah kawalan pergerakan.
Tetapi, bahagian ini yang lebih sukar: bagaimanakah Perdana Menteri akan memastikan bahawa seluruh kerajaan yang dipimpinnya memahami betapa besarnya krisis yang kita sedang hadapi ini dan menggembleng tenaga kesemua rakyat Malaysia untuk menempuh fasa seterusnya?
Dalam sebuah artikel yang diterbitkan di medium.com pada 20 Mac yang tular baru-baru ini, “The Hammer and The Dance”, Tomas Pueyo menjelaskan kenapa “the hammer (penukul)” – satu manifestasi yang agak keras dan ketat (seperti Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia) memerlukan tiga hingga tujuh minggu untuk melandaikan lengkungan Covid-19.
Tetapi, pendekatan keras, yang datang dengan kos ekonomi yang besar buat masyarakat, hanya boleh bertahan dalam jangka masa pendek. PKP tidak boleh diteruskan untuk tempoh yang lama.
Sejurus selepas ‘tukul’, pematuhan ketat terhadap orang awam dibawah kawalan pasukan keselamatan tidak boleh lagi menjadi pendekatan utama. Fasa ini memerlukan penyelarasan “gerak tari” semua pihak secara sukarela. Inilah masanya kita memerlukan pendekatan masyarakat menyeluruh, selain daripada pendekatan kerajaan menyeluruh yang saya tekankan selama ini.
Kita perlu mulakannya sekarang. Kesejahteraan Malaysia secara keseluruhannya bergantung kepada betapa dalamnya pemahaman kita bahawa fasa penyelarasan gerak tari ini memerlukan keringat dan usaha setiap seorang antara kita. Ia mungkin memakan masa yang lama – sekurang-kurangnya sehingga vaksin ditemui dalam 18 bulan akan datang, walaupun tempoh ini dikatakan suatu jangka masa yang agak optimis.
Pertama, solidariti bersama mereka yang paling terkesan/#kitajagakita
Kita hanyalah sekuat ahli yang paling lemah antara kita. Covid-19 adalah penyetara yang menyamakan kita semua. Tidak kira kaya atau miskin, Perdana Menteri atau rakyat biasa, tiada siapa mempunyai imuniti. Kita perlukan semua pihak untuk memahami bahawa kita perlu pastikan mereka yang paling terkesan terus menerima makanan, tempat tinggal dengan penjarakan sosial yang cukup, dan asas penjagaan kesihatan bagi mengelakkan mereka dijangkiti dan menyebarkan virus.
Kita perlu lakukan lebih baik lagi untuk golongan berikut
- Mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan, tanpa mengira kelas ekonomi (Seseorang mungkin tergolong sebagai M40 sebelumnya. Setelah kehilangan pekerjaannya, beliau terpaksa mengikat perut);
- Miskin bandar yang diambang kemiskinan tegar walaupun sebelum krisis;
- Pekerja asing (yang ada dan tiada dokumen) dan pelarian;
- Mereka yang berselindung daripada pihak berkuasa dan tiada akses kemudahan kesihatan;
- Banduan dan tahanan yang dipenjara dalam keadaan yang sesak.
Kita juga sepatutnya sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes kesihatan mental termasuk keganasan rumah tangga disebabkan tekanan ekonomi seperti kehilangan pekerjaan. Oleh itu, kita perlu pastikan setiap orang sihat dari segi aspek fizikal dan mental.
Kedua, memperkasakan pemimpin masyarakat
Pemerkasaan NGO dan pandangan pemimpin komuniti yang dihormati masyarakat masing-masing amat diperlukan. Bolehkah ustaz dan imam di surau tempatan membantu dalam membimbing jemaah dalam amalan penjarakan sosial? Persoalan yang sama juga dilontarkan kepada pemimpin agama lain. Ketua kampung dan guru yang besara boleh turut sama membantu. Adakah pihak berkuasa memperkasakan mereka dengan fakta? Dan, memberikan topeng muka, pensanitasi tangan dan keperluan lain?
Bagaimanakah tenaga NGO dan pemimpin komuniti boleh dimanafaatkan bagi menyediakan makanan dan sokongan emosi buat warga emas di kampung serta bandar kecil, yang mana anak dan cucu mereka menetap di bandar besar? Tentunya, semua ini perlu dilaksanakan dengan penjarakan sosial yang jelas.
Hampir 78% rakyat Malaysia tinggal di bandar dan 70% orang Melayu menetap di bandar. Warga kota sedang dalam kesulitan. Kebimbangan kesihatan telah menghalang mereka daripada pulang ke kampung walaupun setelah tempoh PKP tamat kerana terdapat kemungkinan mereka boleh menyebarkan virus kepada ahli keluarga yang lebih tua. Siapakah yang boleh kita kerahkan untuk membantu?
Bagi kawasan bandar, bagaimanakah kita perlu mengendalikan amalan penjarakan sosial di kondominium, pangsapauri dan flat kos rendah yang sesak? Sebagai Perdana Menteri, Muhyuddin menyatakan sekolah akan ditangguh pembukaannya. Apabila rata-rata rakyat negara kembali semula untuk bekerja, tetapi sekolah masih belum dibuka, siapa yang akan bantu ibu bapa menjaga anak-anak mereka?
Kerajaan tidak mampu melakukan segala-galanya. Orang awam perlu membantu secara sistematik dan bijak secepat mungkin.
Ketiga, berunding dengan pihak berasaskan perdagangan
Setiap perdagangan dan industri mempunyai keunikannya tersendiri. Kita perlukan pemilik kedai kopi, warung dan restoran untuk mempraktikkan amalan penjarakan sosial yang terbaik. Bagaimana pula dengan penjarakan sosial di tapak pembinaan? Bagaimana pula dengan kilang-kilang yang ruang kerjanya sememangnya sesak sebelum ini? Adakah kita memerlukan termometer di setiap pintu masuk? Bagaimanakah perlunya mengendalikan pekerja di ladang tertutup ayam dan telur dengan penghawa dingin? Dan, dalam pelbagai keadaan dan semua jenis perniagaan.
Kita perlu meminta maklumbalas pengendali pengangkutan awam tentang aturan penjarakan sosial yang sesuai. Pihak mereka mungkin menasihati supaya bas-bas persiaran jarak jauh diberi subsidi oleh kerajaan buat masa ini supaya mereka dapat membawa separuh jumlah penumpang lazim mereka.
Jika kita bercakap dengan pengendali LRT atau MRT, mereka mungkin menyarankan kepada kerajaan supaya meminta pejabat-pejabat untuk menetapkan lima atau enam syif berbanding satu syif di mana semua orang bersesak ke pejabat sebelum 9.00 pagi. Mungkin, sebahagian mereka perlu mula bekerja pada jam 12.00 tengahari. Aturan lima atau enam syif berbeza, ditambah dengan segelintir yang kerap bekerja dari rumah, boleh menyelesaikan sebahagian masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak di bandar utama dan mengurangkan risiko jangkitan.
Keempat, memanfaatkan teknologi
Inilah masa yang tepat untuk menggalakkan penggunaan e-wallet, e-commerce dan kerja dari rumah, walaupun selepas tamatnya PKP. Dari segi mencari dan mengesan, China, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan mengetengahkan eksperimen yang amat menarik. Tentunya, persoalan tentang data peribadi perlu diuruskan dengan berhemah.
Kerajaan mesti memimpin dengan wawasan dan menyediakan rangka kerja dasar dan insentif supaya syarikat-syarikat dan teknologi masyarakat dapat muncul dan berkembang. Teknologi tidak akan berfungsi tanpa manusia. Lebih banyak kita perkasakan ahli komuniti untuk mengambil bahagian dalam eksperimen masyarakat yang meluas, lebih banyak hasil yang baik akan kita lihat pada masa akan datang.
Kelima, politik dwipartisan yang baharu
Malaysia bukan hanya dianggotai oleh Perikatan Nasional yang Perdana Menteri sendiri akui tidak mendapat mandat rakyat menerusi pilihan raya umum pada 2018. Sudah tiba masanya Muhyiddin memimpin seluruh kabinet menerusi tauladan dengan menghentikan permainan politik murahan dan menunjukkan kepimpinan dwipartisan yang sebenar.
Beliau harus memanggil persidangan Parlimen bagi menggembleng sokongan dwipartisan untuk memerangi Covid-19. Dalam krisis, kepimpinan adalah penting. Ia menentukan hidup atau mati.
Sebagai sebuah negara bukan kesatuan, Malaysia mempunyai kerajaan negeri, dan kerajaan tempatan adalah sebahagian daripada pihak berkuasa negeri, seperti yang termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan, 1976. Lebih banyak tanggungjawab dan peranan perlu diberikan kepada kerajaan negeri dengan sebanyak mungkin tanpa mengira kecenderungan politik.
Kerajaan – kerajaan negeri dapat mengambil langkah-langkah yang lebih khusus untuk memperbaiki keadaan ekonomi tempatan. Pihak berkuasa tempatan mengetahui satu per satu kedai gunting rambut di jalan yang mana, dan cara terbaik untuk memenuhi keperluan mereka. Selagi garis panduan di peringkat nasional adalah wajar dan jelas, tiada keperluan untuk semua perkara diputuskan di peringkat persekutuan.
Kita memerlukan setiap peringkat kerajaan untuk mengambil tanggungjawab kerana jika kita gagal berbuat demikian, bahana yang bakal menimpa kita adalah sangat besar. Sebagai contoh, kita memerlukan majlis tempatan untuk memastikan saluran air tidak tersumbat dan kes denggi tidak akan membanjiri hospital.
Peluang untuk memperbaiki respons Kerajaan
Lebih pantas kita tangani lima perkara ini dengan tepat, lebih baiklah keadaan yang akan ditempuhi kita semua. Namun, kita juga perlu mengakui tiga kelemahan besar dalam pendekatan Kerajaan pada masa ini. Saya harap Kerajaan menerima ulasan ini dengan hati yang terbuka dan buat pertimbangan yang sewajarnya.
1. Kerajaan terlalu banyak bekerja dalam silo
Tangan kiri kerajaan jelas tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanan. Satu contoh adalah isu operasi kedai gunting rambut. Pasukan ekonomi sepatutnya lebih awal lagi perlu dapatkan maklumbalas daripada pasukan kesihatan perihal rancangan mereka. Lebih-lebih lagi, kita sedang berjuang di medan pertempuran kesihatan. Saya juga telah berkali-kali meminta Kementerian Kesihatan dimasukkan ke dalam Majlis Keselamatan Negara sebagai anggota separa kekal sehingga berakhirnya krisis Covid-19.
Pendekatan kerajaan menyeluruh sangat diperlukan. Menteri dan ketua setiausaha kementerian masing-masing (KSU) mesti berbincang antara satu sama lain, sekurang-kurangnya dalam kumpulan WhatsApp. Perdana Menteri sendiri mesti mengetuai satu bilik perang dengan penglibatan penuh.
2. Kerajaan tidak tahu apa yang terbaik
Kita perlu terima bahawa, walaupun dalam waktu biasa, kerajaan tidak semestinya tahu penyelesaian yang terbaik. Malah, kerajaan persekutuan mungkin agak terpisah dengan realiti di peringkat akar umbi. Apatah lagi, kita sedang berada dalam keadaan yang luar biasa. Segala usaha dan tenaga dalam masyarakat perlu dimanfaatkan.
Percubaan untuk melarang NGO daripada mengagihkan makanan adalah salah satu contoh permasalahan ini. Bermain politik dengan bantuan makanan dengan menafikan anggota Parlimen Pakatan Harapan yang dijanjikan peluang untuk mengemukakan senarai penerima kebajikan di beberapa negeri adalah satu contoh lain.
Kegagalan untuk mengakses laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari kebanjiran permohonan untuk mula beroperasi semasa PKP walaupun telah diberi amaran awal oleh mantan Timbalan Menteri MITI Ong Kian Ming dan Pakatan Harapan merupakan satu lagi contoh hal ini. Sikap kerajaan (persekutuan) yang kononnya mereka tahu apa yang ‘terbaik’ harus dibuang dan masyarakat perlu turut serta untuk membantu dan melakukan usaha mulia ini bersama-sama.
3. Kerajaan tidak cukup berani
Dalam hal yang memerlukan keazaman politik yang besar dan langkah yang berani, kita masih belum melihat semangat yang harus ditunjukkan kerajaan. Terdapat keperluan untuk pengeluaran “waktu-perang” bekalan perubatan dengan dasar perindustrian yang tertumpu. Langkah ini masih tidak kelihatan lagi. Mereka yang dipertanggungjawabkan dengan sumber manusia belum lagi dilihat tampil ke hadapan untuk menjelaskan rancangan untuk menjaga pekerjaan dan langkah-langkah untuk membantu menyediakan peluang ekonomi bagi mereka yang baru sahaja kehilangan pekerjaan.
Telah tiba masanya untuk kerajaan bangun dan mengambil pendekatan masyarakat menyeluruh supaya semua pihak bergerak dengan ‘gerak tari’ yang selari dengan kelaziman yang baharu.
liew chin tong
Senator & bekas Timbalan Menteri