Saya masih menentang rampasan kuasa politik yang membawa kepada perubahan rejim semasa, tetapi sekarang di waktu kritikal ini, saya ingin menjadi neutral untuk memastikan kerajaan akan membuat keputusan tepat pada masa pandemik Covid-19. Jika tidak, akan ada rakyat yang lapar dan kemungkinan berlaku pergolakan sosial.
Ini adalah masa untuk kerajaan menunjukkan bahawa ia memahami sepenuhnya masalah kita, dan pemimpin mempunyai idea yang paling jelas dan paling berani, terutamanya dalam meletakkan wang mereka di mana mulut mereka.
Sama ada kita suka atau tidak, kerajaan adalah pilihan terakhir untuk semua rakyat Malaysia. Tiada negara lain boleh membantu rakyat Malaysia, hanya kerajaan Malaysia sahaja, dan dengan bantuan rakyat Malaysia, tentunya.
Ini adalah krisis global, jadi kita tidak akan dapat “mengeksport jalan keluar dari masalah” seperti yang kita lakukan semasa Krisis Kewangan Asia pada akhir 1990-an. Tidak ada orang lain, China atau Amerika Syarikat, mempunyai sumber untuk membantu Malaysia. Tiada dana swasta dan badan amal yang cukup besar untuk membantu dan mengurangkan kejatuhan berjuta-juta rakyat Malaysia untuk jangka masa panjang.
Ini adalah masa yang luar biasa menuntut tindakan luar biasa. Kerajaan / negeri mesti memimpin dan bersedia untuk membuang buku rutin kebiasaan dari tingkap. Beberapa tindakan berani mesti dilaksanakan dengan segera, dengan imaginasi dan kreativiti.
1) Tambahan perbelanjaan kesihatan
Kita masih dalam krisis kesihatan yang belum pernah terjadi sebelumnya dan kerajaan belum mencapai tahap yang mencukupi dalam melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menghabiskan wang semaksimum mungkin dengan pantas untuk mendapatkan peralatan ujian, peralatan pelindung diri (PPE), ventilator, dan lain-lain. Kementerian Kesihatan diperuntukkan tambahan RM1 bilion dalam pakej rangsangan terkini tetapi masih tidak mencukupi.
Lebih banyak wang perlu dikhaskan untuk kesihatan dalam minggu dan bulan seterusnya untuk meningkatkan kapasiti bagi hospital dan ICU, serta memastikan ketersediaan bekalan perubatan, seperti topeng muka untuk rakyat.
Untuk masa panjang, dengan pemikiran jangka panjang, kita perlu memperluas dan mengukuhkan sistem kesihatan untuk melawan krisis semasa dan ke masa depan apabila permintaan masyarakat kita untuk kesihatan akan meningkat, terutamanya apabila masyarakat kita semakin tua.
2) Menaikkan kecemasan kepada tahap “perang”
Kerajaan mesti menerima hakikat bahawa ini adalah perang. Ini bererti peraturan berhemat secara lama tidak lagi terpakai. Saya merasakan bahawa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan kerajaan secara amnya masih memikirkan ini masih lagi masa aman bertenang.
Rangsangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27hb Mac yang disebut-sebut telah menyuntik RM250 bilion ke dalam ekonomi tetapi sebenarnya hanya RM25 bilion perbelanjaan fiskal. Menurut Menteri Kewangan, suntikan fiskal sebanyak RM25 bilion dicapai melalui pemotongan dana kepada beberapa kementerian dan menetapkan defisit pada 4% kepada KDNK pada tahun 2020 (dari yang dirancang awal 3.2%).
Pemindahan tunai kepada rakyat Malaysia biasa dalam kategori B40 dan M40 hanya mencukupi untuk mereka bertahan pada bulan April dan Mei sahaja. Sebaik sahaja pakej itu diumumkan, perniagaan-perniagaan menyuarakan kebimbangan yang teramat kerana mereka melihat tidak ada perancangan bantuan fiskal yang substantif. Jaminan pinjaman tidak berkaitan dan tidak relevan dengan banyak perniagaan-perniagaan mereka. Pemilik-pemilik perniagaan ini kebanyakan mereka tidak pernah meminjam terlalu banyak sebelum ini dan memandangkan keadaan semasa, mereka lebih memahami & kurang keyakinan untuk mempertimbangkan pinjaman kewangan.
Jika kerajaan mengekalkan nisbah 4% kepada nisbah defisit KDNK, tidak ada ruang untuk pemindahan bantuan wang tunai melebihi April dan Mei, dan tidak ada ruang untuk sebarang bantuan upah gaji atau bentuk bantuan fiskal lain kepada perniagaan-perniagaan.
Kerajaan tidak perlu terlalu terikat dengan pandangan agensi penarafan. Agensi-agensi tersebut kini sangat fokus tentang sejauh mana kemelesetan global dan berapa lama, bukan dengan angka defisit. Tidak ada salahnya untuk melihat defisit ketika ini harus ditingkatkan sehingga angka 10% kepada KDNK sekalipun. Kita mesti terima hakikat, . KDNK akan tetap mengecil walaupun agensi penarafan mahu mengekalkan nisbah kecil defisit berbanding KDNK.
Sudah tentu, perbelanjaan mestilah dinyatakan secara telus dan dilaksana sepenuhnya. Pastikan tiada ruang untuk kebocoran dan rasuah. Walaupun dalam krisis yang melampau, kita mesti sentiasa waspada dan jujur.
3) Wang kecemasan dan langkah yang lebih berani oleh Bank Negara
Sudah tiba masanya untuk bank pusat melihat wang kesemasan (segera) – meletakkan wang terus ke dalam poket orang ramai – dengan membuat lebih banyak wang untuk menyuntikkannya terus ke dalam ekonomi. Bank Negara tidak boleh konservatif dalam krisis magnitud besar begini. Ia mesti bersedia untuk campur tangan dalam cara yang lebih berani, bukan sahaja untuk menangani kejutan ekonomi segera tetapi juga untuk menetapkan semula jangkaan pengeluar, jangkaan pengguna dan mencegah kejutan semasa berubah menjadi krisis yang berpanjangan. Satu langkah yang berani seperti wang segera jelas akan memberi isyarat bahawa kerajaan dan bank pusat bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk mengelakkan keruntuhan kewangan/pasaran yang menyeluruh, dan dengan itu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap arah tuju ekonomi masa depan.
Penangguhan pinjaman moratorium selama setengah tahun adalah satu langkah ke arah yang betul, tetapi Bank Negara memberi gambaran bahwa ia hanya bersedia untuk bergantung kepada operasi secara konvensional pasaran terbuka. Bank perlu diminta untuk menyerap pembayaran faedah dalam tempoh ini. Bank-bank perlu menanggung risiko untuk keputusan pinjaman yang mereka buat dan mengambil beberapa potongan, dan peminjam tidak boleh dibebani beban keseluruhannya.
Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati. Mana-mana suntikan wang kecemasa tidak boleh mengalir ke dalam sektor hartanah, sebagai contoh. Rangsangan kewangan perlu direka untuk meminimumkan risiko menyebabkan gelembung aset pusingan baru dan juga tahap hutang yang lebih tinggi, seperti yang berlaku selepas Krisis Kewangan Global pada tahun 2008.
4) Rakyat Malaysia yang bekerja terlebih dahulu
Siapa yang patut mendapat bantuan daripada dana awam ini?
Kerajaan harus membantu perniagaan untuk membayar sebahagian daripada gaji mereka sekarang untuk kestabilan. Mari kita anggap ini adalah “fasa kebakaran”. Tetapi fasa kebakaran ini tidak boleh terlalu lama.
Objektif utama membantu perniagaan adalah untuk memelihara pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Berjuta-juta orang di Malaysia akan kehilangan pekerjaan mereka dalam beberapa bulan akan datang. Puluhan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan di seluruh dunia mungkin kehilangan pekerjaan dan akan kembali ke Malaysia. Kerajaan mesti dapat memberi ‘makan’ kepada mereka dan keluarga mereka, dan mewujudkan pekerjaan untuk mereka.
Selepas ‘fasa pembakaran’ awal ini, apa-apa bantuan upah hanya boleh dilakukan kepada rakyat Malaysia. Kerajaan mempunyai kewajipan moral dan politik untuk memastikan seberapa banyak rakyat Malaysia dapat bekerja dengan baik.
Perniagaan harus dibenarkan untuk memecat pekerja asing tetapi dengan beberapa kewajipan undang-undang untuk memastikan makanan dan penginapan mereka dilindungi sehingga selamat untuk mereka kembali ke negara asal mereka. Ia adalah masa yang tepat untuk beralih daripada pergantungan berat terhadap pekerja asing.
5) Mengubah semula keutamaan GLC dan / GLIC dan membawa dasar perindustrian ke hadapan
Kita harus mengambil peluang ini untuk membangunkan industri bekalan perubatan yang jauh lebih besar. Kita perlu melaburkan wang awam untuk membina penyelidikan perubatan yang lebih kukuh. Kita juga sepatutnya dapat melahirkan beberapa peluang pekerjaan baru daripada krisis ini, sebagai contoh seperti krew kabin syarikat penerbangan untuk dilatih semula bagi membantu sektor kesihatan selama setahun atau lebih.
Tetapi untuk berbuat demikian, kita perlu melibatkan badan yang berkemampuan besar. Dalam kes kita, ia adalah syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
Sementara itu, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sering bertindak seolah-olah mereka adalah entiti membuat keuntungan swasta semata-mata. Sebagai contoh lagi, GLC yang terlibat dalam sektor hartanah telah bertindak seperti pemaju swasta yang mementingkan keuntungan besar dan bukannya membina perumahan awam yang layak bagi rakyat kelas pertengahan, atau menanam kelapa sawit dengan mengorbankan keselamatan pemakanan, atau membina hospital swasta sendiri yang menyimpan 70% doktor dan sumber perubatan tetapi hanya merawat 30% pesakit, atau menjual kereta dan bukannya menyediakan pengangkutan awam.
Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tertumpu pada menjana dividen bagi penyumbangnya tetapi kerajaan perlu menyelaraskan pelaburan mereka dengan strategi nasional. Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaburkan 30% dana di luar negara kerana hasilnya lebih tinggi.
Ya, KWSP sedang melakukan apa yang diamanatkan untuk dilakukan. Tetapi kerajaan perlu melakukan segala kemungkinan untuk menyimpan dana di dalam negara. Apa gunanya memberi insentif besar kepada pelabur asing apabila kita sebenarnya tidak kekurangan dana?
Peranan kerajaan dalam ekonomi perlu dijelaskan: untuk berbuat lebih banyak dalam sektor kesihatan untuk memerangi wabak penyakit, untuk mewujudkan pekerjaan dan membantu rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan mereka, untuk mewujudkan industri baru melalui dasar perindustrian yang kukuh serta melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menyediakan Malaysia bagi kitaran seterusnya.
GLC dan GLIC perlu menyusun semula keutamaan mereka. Mereka mesti berhenti berpura-pura seolah-olah mereka adalah syarikat swasta bersaing untuk mendapatkan wang dari kelas menengah Malaysia atau dari aset-aset hartanah yang mereka miliki.
Peranan GLC adalah untuk melakukan apa yang sektor swasta tidak boleh lakukan sendiri, seperti R & D ke dalam teknologi pertahanan atau kesihatan. GLIC perlu diberitahu secara jelas untuk melabur di Malaysia untuk mewujudkan sektor baru yang akan menjana peluang pekerjaan baru bagi rakyat Malaysia.
Keuntungan bukanlah matlamat utama. Matlamat ekonomi sosial keseluruhan harus diberi keutamaan. Sudah tentu, sekali lagi, semua ini harus berlaku dengan ketelusan yang hebat, tanpa pihak ketiga yang ambil untung atas angin , tiada jenayah moral dan tiada konflik kepentingan.
Kita rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang penuh dengan kepakaran, peka dan cergas dalam tindak balas untuk memimpin bahagian hadapan bagi menyediakan jaring keselamatan untuk semua rakyat Malaysia, serta mewujudkan industri baru untuk pekerjaan baru di Malaysia.
Liew Chin Tong adalah seorang senator and bekas Timbalan Menteri Pertahanan